MAIWP Salur RM50 Ribu Kepada Tabung Kebajikan Hospital Labuan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus / Jeffrey Nian

LABUAN, 15 Mei (Malaysiaaktif) - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersetuju menyalurkan bantuan kewangan kepada Tabung Kebajikan Hospital Labuan sebanyak RM50 ribu bagi kegunaan perkhidmatan rawatan perubatan yang melibatkan golongan asnaf pada tahun ini.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussein, melalui bantuan yang disalurkan itu, MAIWP menunjukkan prestasi yang sangat baik dan amat memberangsangkan dalam membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

“MAIWP selaku pemegang amanah para pembayar zakat juga menyediakan 28 skim bantuan yang ditawarkan yang mana turut melibatkan bantuan kewangan perubatan bulanan dan peralatan kesihatan secara one off.

“Saya berharap agar program seumpama ini dapat dijadikan printis kepada program-program kebajikan daripada agensi lain kerana manfaat agihan zakat juga dapat dilihat dan dirasai kembali oleh pembayar-pembayar zakat serta warga Labuan amnya melalui kemudahan bantuan perubatan yang disediakan untuk sebarang rawatan di Hospital Labuan,” katanya semasa merasmikan Program Penyampaian Sumbangan Kepada Pesakit di Hospital Sempena Ramadhan Al-Mubarak 2019M/1440H MAIWP Cawangan Labuan, semalam.

Amir (dua dari kanan) menyempurnakan simbolik penyampaian bantuan daripada MAIWP kepada Dr. Ismuni Amir (dua dari kanan) menyempurnakan simbolik penyampaian bantuan daripada MAIWP kepada Dr. Ismuni



Beliau berharap pihak MAIWP menjadi agensi utama dalam usaha penyaluran zakat kepada asnaf agar dapat membantu lebih ramai lagi golongan sasar terutamanya asnaf dari aspek perubatan dan peralatan kesihatan.

“Saya juga berharap agar para pesakit yang dibantu pada kali ini dapat memanfaatkan bantuan tersebut dengan sebaiknya dan tidak dilupakan juga ucapan ribuan terima kasih kepada pihak Hospital Labuan kerana sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam membantu merealisasikan agenda jabatan lain untuk tujuan perubatan dan kebajikan kepada para pesakit khususnya asnaf di sekitar WP Labuan,” katanya lagi.

Sementara itu Pengurus MAIWP Cawangan Labuan, Ahmad Saifuddin Md. Tahir berkata, adalah menjadi agenda utama dan keutamaan bagi MAIWP sebagai sebuah institusi yang diamanahkan mengagihkan wang zakat di Wilayah Persekutuan bagi menyalurkan zakat kepada asnaf-asnaf yang memerlukan mengikut kelayakan dan bantuan yang bersesuaian.

“Untuk makluman semua juga, pihak MAIWP turut menyediakan Skim Bantuan Perubatan Am berbentuk bulanan dan juga Peralatan Kesihatan bagi sokongan para pesakit mengikut keperluan masing-masing dan juga Skim Bantuan Khas kanak-kanak OKU yang baru juga dilancarkan pada 15 Januari 2019 baru-baru ini.

Amir menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pesakit Hospital Labuan Amir menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pesakit Hospital Labuan



“Skim Bantuan ini sememangnya dapat meringankan beban para pesakit khasnya para asnaf yang terpaksa menanggung kos rawatan yang sangat tinggi.

“Oleh itu, sebagai pemegang amanah para pembayar zakat, MAIWP telah menyediakan 28 skim bantuan yang pelbagai yang meliputi aspek kebajikan, pendidikan dan peningkatan sosio ekonomi para asnaf yang memerlukan,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.

Selain itu, pihak MAIWP memperuntukkan sebanyak RM15,000.00 untuk diagihkan kepada semua pesakit hospital Labuan yang pada hari itu bagi meringankan beban untuk menyambut ramadan pada kali ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan W.P Labuan, Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Hospital Labuan, Dr. Adnan Musa Balidran.
EM