Kerajaan Kaji Keperluan Wujudkan Akta Perubahan Iklim - Yeo

 Foto: Ihsan Bernama

PUTRAJAYA, 17 Mei (Malaysiaaktif) - Kerajaan akan memulakan kajian skop untuk menilai sama ada terdapat keperluan untuk mewujudkan Akta Perubahan Iklim di negara ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata kajian tersebut akan dijalankan dengan kerjasama antara Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) dan kerajaan United Kingdom (UK) dan dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata sebaik kerjasama itu dimeterai, usaha pertama kajian skop dilakukan untuk memastikan sama ada terdapat keperluan untuk negara mempunyai akta yang sama seperti di UK atau sebaliknya.

“Menjelang Januari 2020, kita secara kasar akan mengetahui hasil fasa pertama kajian skop itu,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran surat kerjasama antara GreenTech Malaysia dan Pejabat Kementerian Luar dan Komanwel United Kingdom, di sini hari ini.

Majlis itu diadakan sempena kunjungan hormat ke atas Yeo oleh wakil khas kerajaan UK bagi Perubahan Iklim, Nick Bridge.

Yeo berkata seandainya akta itu dilaksanakan, impak utama adalah untuk menjadikan tindakan yang diambil untuk perubahan iklim sebagai amalan merentasi sektor perniagaan dan swasta.

Beliau berkata program kerjasama empat tahun itu akan memberi manfaat kepada negara dalam menangani inisiatif perubahan iklim yang kritikal termasuk rangka kerja institusi serta pembinaan keupayaan melalui perkongsian kemahiran dan bantuan teknikal.

“Ia juga membolehkan Malaysia mengkaji dan menyesuaikan program Kalkulator Karbon Laluan UK 2050 dalam konteks negara ini,“ katanya.

Sementara itu, Bridge berkata, negaranya baru sahaja menyambut ulang tahun ke-10 pembentukan Akta Perubahan Iklim 2008 yang merupakan undang-undang yang sangat popular dan berkesan di negara itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap negara mempunyai rangka perundangan tersendiri yang bergantung kepada keadaan setempat.

Belaiu berkata kerajaan UK telah menetapkan sasaran jangka panjang bagi menyahkarbon ekonominya dan mengambil tanggungjawab untuk mencapai purata jejak karbon global bagi setiap rakyat negaranya.

“Kami mempunyai bajet untuk program karbon. Jadi setiap lima tahun, kami wajib mengurangkan jejak karbon supaya dapat mencapai matlamat menyahkarbon,” katanya.  -- BERNAMA