Penekanan Menunaikan Solat Ketika Sakit

Laporan/foto: Mahnom Mohd Mohyidin/Mohd Hanif Ahmad/Burhanudin Jamil

MERSING, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 21 pesakit lelaki dan wanita Islam yang sedang menerima rawatan di Hospital Mersing diberi penerangan dan peringatan berkaitan kewajipan pelaksanaan Rukun Islam yang kedua bagi setiap umat islam iaitu menunaikan solat.

Pengertian ibadat solat mempunyai pengertian yang amat luas dan bagi umat Islam, menunaikan ibadat solat mempunyai kebaikan dari segi rohani dan jasmani.

Dari segi kesihatan fizikal, gerakan badan yang tersusun dan tertib dalam solat mampu meningkatkan daya prestasi tubuh.

Justeru, tiga pegawai dari Pejabat Kadi Daerah Mersing iaitu Faizah Abdullah, Mohd Ilham Husin dan Mohd Zaki Adam membuat kunjungan ke hospital berkenaan bagi beramah mesra dan menyampaikan penerangan tentang pentingnya solat walaupun sedang sakit.

Kunjungan dari Pejabat Kadi Daerah Mersing untuk beramah mesra dan memberi penerangan tentang solat ketika sakit di Hospital Mersing Kunjungan dari Pejabat Kadi Daerah Mersing untuk beramah mesra dan memberi penerangan tentang solat ketika sakit di Hospital Mersing



Mereka menerangkan secara bersemuka dari katil ke katil setiap pesakit mengenai pelaksanaan solat semasa sakit.

Para pesakit dan petugas di wad juga diberi pendidikan amali dalam melaksanakan solat secara jelas dan para pesakit turut mengambil peluang ini untuk bertanyakan setiap kemusykilan yang timbul berkaitan hal-hal agama.

Melalui program agama yang dilaksanakan secara santai ini juga, para pesakit dinasihatkan supaya tabah dan redha dalam menghadapi ujian semasa di bulan ramadan yang mulia ini.

Salah seorang pesakit, Maria Murad, 54, yang dirawat selama dua hari akibat demam denggi berkata beliau menyambut baik program ini.

Tahun ini Nocica akan menyambut Hari Raya di Hospital Mersing Tahun ini Nocica akan menyambut Hari Raya di Hospital Mersing



"Pendedahan ini dilihat dapat mempertingkatkan pemahaman berkaitan solat semasa sakit dan agama secara terus kepada pegawai agama yang hadir," ujarnya.

Berbeza dengan Nocica Bangkang Anak Jawa, 53, yang merupakan seorang mualaf memberitahu beliau tidak ditemani waris sepanjang menjalani rawatan di sini.

"Saya berasa amat terharu menerima kunjungan memandangkan hari raya nanti saya seorang diri di hospital ini disesbabkan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Ini adalah kali pertama saya dikunjungi oleh pegawai yang menerangkan secara lengkap tentang perlaksanaan solat ketika sakit. Saya gembira dengan pendekatan sebegini yang lebih santai dan mesra di samping boleh mendapatkan maklumat yang betul berkaitan menunaikan solat,” ujarnya.

Jabatan Penerangan Daerah Mersing turut mengedarkan bahan-bahan penerbitan yang berkaitan kerajaan Pejabat Penerangan Daerah Mersing turut mengedarkan bahan-bahan penerbitan yang berkaitan kerajaan



Semasa lawatan tersebut, Pejabat Penerangan Daerah Mersing telah mengambil kesempatan untuk menyampaikan sumbangan berbentuk makanan sunnah seperti buah-buahan Kurma, Tin dan Aprikot serta air Zam-zam kepada para pesakit.

Sementara itu, edaran bahan-bahan penerbitan tentang isu-isu semasa seperti fakta penting Tabung Haji, Model Felda Baharu dan sebagainya lagi turut diberi kepada kakitangan dan pengunjung di hospital itu.
EM