Barang Klasik Tentera Perang Dunia di Muzium Mersing

Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Mohd Hanif Ahmad

MERSING, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Muzium Mersing menjadi muzium yang kelima di bawah seliaan Yayasan Warisan Johor (YWJ) selepas kerajaan negeri memberi peruntukan sebanyak RM4.7 juta bagi mengambil alih bangunan kerajaan dan diubah suai menjadi sebuah muzium di sini.

Bangunan Muzium Mersing ini juga sama antiknya seperti barangan-barangan yang terdapat di dalamnya.

Dibina pada tahun 1920-an, bangunan ini pada asalnya digunakan sebagai pejabat pentadbiran daerah Mersing yang kemudiannya dijadikan markas operasi Jepun sewaktu jajahan mereka sehingga tahun 1945.

Selepas kekalahan Jepun, bangunan yang terletak di Jalan Ibrahim ini beroperasi semula sebagai pejabat kerajaan dan secara rasminya bertukar menjadi muzium setelah disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 15 Mei 2016 bersempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016.

Antara khazanah sebelum merdeka yang telah menjadi sejarah Antara khazanah sebelum merdeka yang telah menjadi sejarah



Terdapat lebih 300 koleksi artifak hasil perolehan muzium dan beberapa sumbangan masyarakat serta kolektor dipamerkan di muzium ini.

Pembantu Muzium Mersing, Mizah Mardhiah Mohd Safa, 25, berkata muzium berkenaan juga mempamerkan artifak sekitar 1920-an turut konsisten menerima 300 pengunjung setiap bulan.

“Muzium Mersing turut mempamerkan artifak era 40-an dan 60-an antaranya seperti radio lama, kamera lama, basikal lama dan dokumen persuratan lama. Selain itu, terdapat tiga bahagian pameran iaitu pentadbiran sosio ekonomi, 'Battle of Endau' dan pameran khas yang mana pameran bermusim selama enam bulan setiap tahun,” katanya.

Pameran Motosikal Klasik Tentera semasa Perang Dunia telah diadakan pada 1 April sehingga 31 Julai 2019 merupakan slot pameran bermusim untuk tahun ini.

Bangkai Pesawat Perang Dunia Kedua milik Tentera Jepun yang ditemui di perairan Mersing turut dipamerkan kepada orang ramai Bangkai Pesawat Perang Dunia Kedua milik Tentera Jepun yang ditemui di perairan Mersing turut dipamerkan kepada orang ramai



Menjejakkan kaki ke dalam ruang legar ini akan membuatkan para pengunjung merasai suasana zaman Perang Dunia. Terdapat beberapa buah Motosikal klasik tentera dan juga artifak perang dunia yang dipamerkan di sini.

“Motosikal Klasik Tentera yang dipamerkan di sini adalah merupakan koleksi seorang pencinta motosikal klasik dari Batu Pahat yang berbesar hati untuk bekerjasama dengan Muzium Mersing bagi mempamerkan koleksinya di sini.

"Antara jenama motorsikal adalah Norton, BSA dan Matchless yang digunakan oleh tentera British semasa Perang Dunia kedua, iaitu sekitar tahun 1941,” kata Penjaga Muzium Mersing, Ahmad Izham Ahmad, 26.

Tambahnya lagi, walaupun sudah berusia lebih setengah abad, motorsikal ini tetap berada dalam kondisi terbaik dan mempunyai ramai peminat di seluruh dunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib yang turut melawat di Muzium Mersing, mengucapkan tahniah kepada YWJ kerana berjaya menguruskan sebuah muzium di daerah ini.

Mizah dan Ahmad sentiasa bersedia menerima kunjungan orang ramai di sini Mizah dan Ahmad sentiasa bersedia menerima kunjungan orang ramai di sini



“Saya berharap dan ingin melihat lebih banyak koleksi hasil tinggalan sejarah Mersing dapat dipamerkan untuk pengetahuan dan kebanggaan masyarakat Mersing khususnya.

"Pihak YWJ boleh berkerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan sekolah-sekolah di Mersing untuk mengadakan pelbagai program di sini bagi menaikkan imej Muzium Mersing," ujar beliau.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelbagai khazanah sejarah yang tersimpan di sini, bolehlah datang mengunjungi ke Muzium Mersing yang dibuka secara percuma pada setiap hari kecuali Jumaat.

Waktu beroperasi bermula 9.30 pagi hingga 4.00 petang kecuali hari Khamis hingga 3.00 petang.
EM