TVET Untuk Pelajar Pondok dan Tahfiz

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 25 Mei (Malaysiaaktif) - Kerajaan bercadang mewujudkan peluang kemahiran kepada pelajar-pelajar di Institusi Pondok Sekolah Agama dan Tahfiz untuk menyertai pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) dalam usaha membantu mereka mempersiapkan diri untuk hidup berdikari.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar, berkata apabila beliau masuk ke kementerian ini perkara pertama yang beliau lakukan ialah bagaimana mahu membantu sekolah agama, pondok dan maahad tahfiz.

"Saya mahu mereka ini tidak hanya belajar hal berkaitan keagamaan tetapi harus ada ilmu yang boleh membawa mereka hidup berdikari dalam usaha untuk mencari rezeki kelak," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Jamaie di Madrasah Misbah al-Falah Pondok Lanai, di sini semalam.

Menurut Mahfuz lagi, pasaran kerja dalam sektor perkilangan terbuka luas dan syarikat besar amat berkeyakinan dengan mereka yang belajar di pondok, maahad tahfiz dan sekolah agama kerana jiwa mereka bersih, tidak curi tulang dan jujur dalam bekerja.

Mahfuz ketika merasmikan Majlis Iftar Jamaie di sini semalam. Mahfuz ketika merasmikan Majlis Iftar Jamaie di sini semalam.



"Dengan keyakinan ini saya berharap pelajar-pelajar pondok dan tahfiz merebut peluang yang ada," ujarnya.

Kerajaan Negeri Kedah juga baru-baru ini telah mewujudkan Skim Takaful Murabbi Darul Aman kepada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pondok dan guru takmir.

"Dengan perlindungan takaful ini sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru agama sekiranya mereka ditimpa musibah.

"Ini antara inisiatif kerajaan negeri dalam membantu kebajikan tenaga pengajar di pondok, tahfiz dan guru KAFA sekolah," katanya lagi.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kuala Ketil Mohd Sofee Razak, berkata Institusi pondok amat penting dalam pendidikan negara.

"Pelajar-pelajar yang berkesempatan ada di pondok ini amat bertuah kerana institusi ini melahirkan ulama dan sesetengah juga berjaya menjadi doktor serta peguam dan saya berharap tradisi ini diteruskan," ujarnya.

-SH