Perkampungan Dodol Warga Puchong 2019 Erat Perpaduan Masyarakat Setempat

Laporan / Foto: Norfarhana Mohd Zainal Abidin/ Sheik Amilhisham Sheik Hashim (Petaling)

PETALING, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo hadir merasmikan Perkampungan Dodol Warga Puchong 2019 di Dewan Serbaguna MPSJ, Taman Seri Serdang, hari ini.

Program anjuran Kelab Warga Puchong (KWP) dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang ini membabitkan penyertaan sebanyak 25 kumpulan untuk aktiviti mengacau dodol dengan penglibatan masyarakat setempat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong dalam ucapannya berkata program seumpama ini mampu menarik minat masyarakat tentang budaya serta makanan tradisi sesebuah kaum di Malaysia.

Kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Selangor turut tidak ketinggalan untuk cuba mengacau dodol Kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Selangor turut tidak ketinggalan untuk cuba mengacau dodol



"Program ini perlu diteruskan lagi di masa akan datang kerana melalui aktiviti sebegini, perpaduan di kalangan masyarakat setempat semakin erat kerana aktiviti ini bukan sahaja disertai oleh kaum Melayu sahaja tetapi turut mendapat penyertaan dari kaum Cina, kaum India serta pelajar-pelajar antarabangsa dari Universiti Putra Malaysia (UPM)", ujar beliau lagi.

Dalam program sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz dan 31 penerima Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) yang merupakan inisiatif kerajaan negeri Selangor bagi mengurangkan kos sara hidup, pemulihan dan pendidikan yang ditanggung oleh ibubapa golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Gerai Pameran Jabatan Penerangan Malaysia Sempena Perkampungan Dodol Warga Puchong 2019 Gerai Pameran Jabatan Penerangan Malaysia Sempena Perkampungan Dodol Warga Puchong 2019



Selain aktiviti mengacau dodol dan penyampaian sumbangan, program tersebut turut diserikan dengan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan Malaysia, Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk, solat tarawih dan solat isya' berjemaah dan ceramah Ramadhan oleh Pencetus Ummah (PU) Ustaz Mohamad Rozi.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Selangor, Devaraj A/L Subramaniam; Pengerusi Kelab Warga Puchong, Saleha Hassan dan Pegawai Penerangan Daerah Petaling, Mohd Zam Manaf.

-NAZ