TPM Turun Padang Gotong-Royong Masak Bubur Lambuk

Laporan/foto:Nurazreen Abd Rahman/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Utara)

BERTAM, 26 Mei (Malaysiaaktif) - Pusat Penjagaan Wargaemas Darul Hanan Kepala Batas hari ini menerima lawatan khas daripada Timbalan Perdana Menteri, YB Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail yang sudi beramah mesra dengan dengan lebih kurang 120 orang penghuni Warga emas dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat  untuk Program Salam Ramadhan


Aktiviti utama gotong-royong memasak menyediakan juadah bubur lambuk beresepikan dari Istana Pahang diadakan bersama penghuni di sini.


Individu yang bertanggungjawab dalam aktiviti memasak bubur lambuk ini adalah Encik Nordin Mahamad, 50 tahun yang merupakan Ketua tukang masak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertugas di Sekolah Tunas Bakti, Teluk Air Tawar. Beliau yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang memasak pelbagai jenis masakan. Menurut beliau bubur lambuk mempunyai 2 jenis rasa berlainan kerana ada sesetengahnya menggunakan santan ataupun susu untuk memasak bubur lambuk. Beliau turut memaklumkan berasa berdebar kerana ini merupakan kali pertama beliau memasak bersama dengan Timbalan Perdana Menteri dan berharap semuanya akan berjalan dengan lancar. Turut membantu beliau adalah Mohd Zaini.




TPM turun padang dalam menyantuni Warga Emas di Darul Hanan dalam Program Salam Ramadhan TPM turun padang dalam menyantuni Warga Emas di Darul Hanan dalam Program Salam Ramadhan


Menurut Pengerusi Rumah Penjagaan Warga Emas Darul Hanan Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata biarpun Raja Permaisuri Agong tidak dapat menghadiri majlis yang dijadualkan untuk memasak sendiri bubur lambuk hasil resepinya, penghuni Darul Hanan turut berpeluang merasai bubur lambuk itu menerusi resepi yang diberikannya.


"Saya bersyukur Darul Hanan dipilih oleh Tuanku. Kita turut bersedih di atas kemangkatan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah. Namun kita tetap menaruh harapan suatu hari nanti Raja Permaisuri Agong akan tetap ke sini katanya.


Bagi penghuni Darul Hanan Puan Mazenah Shariff, 64, beliau turut menzahirkan rasa teruja apabila dapat merasai keenakkan bubur lambuk yang akan dimasak oleh Timbalan Perdana Menteri.


"Resipi bubur lambuk yang menggunakan sayur-sayuran mengingatkan saya kepada kampung halaman di Terengganu. Gembira sangat hari ini kerana  dapat bertemu secara dekat dengan Timbalan Perdana Menteri yang prihatin bertegur sapa dengan kami di penghuni Darul Hanan," katanya.




Jabatan Penerangan Pulau Pinang mengambil peluang mengedar bahan penerbitan dan memberi penjelasan dan penerangan mengenai Isu Tabung Haji dan Statut Rom kepada orang ramai Jabatan Penerangan Pulau Pinang mengambil peluang mengedar bahan penerbitan dan memberi penjelasan dan penerangan mengenai Isu Tabung Haji dan Statut Rom kepada orang ramai


Selesai proses memasak bubur lambuk, Timbalan Perdana Menteri  melawat sekitar Pusat Darul Hanan yang menyediakan perkhidmatan gimnasium, SPA untuk kegunaan penghuni Warga Darul Hanan.


Dalam program ini juga, Jabatan Penerangan Pulau Pinang diberikan peluang untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri dalam menerangkan peranan jabatan penerangan memberikan penjelasan dan penerangan mengenai isu terkini seperti isu tabung haji dan statut rom yang banyak diputar belitkan dalam media sosial. Timbalan Perdana Menteri menyatakan ribuan terima kasih kepada usaha yang dilakukan oleh jabatan kerana telah berusaha mendapatkan keyakinan rakyat kepada pentadbiran kerajaan masa kini.


Majlis tersebut juga dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Hannah Yeoh, Timbalan Ketua Menteri 1, Ahmad Zakiyuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Negeri Pulau Pinang, Chong Eng, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin serta Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail.