Naik Motor Besar Rai Anak Yatim dan Asnaf

Laporan/foto: Rose Rasidi (Alor Setar)/Facebook Erasetar Bikers

ALOR SETAR, 27 Mei (Malaysiaaktif) - Seramai 25 orang anak-anak yatim dan asnaf dari Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, di sini dirai dengan menaiki motorsikal berkuasa besar ke destinasi berbuka puasa, semalam.

Menurut Pengerusi Erasetar Bikers, Muhamad Sukri Mat Hassan, program Iftar Ramadan bersama pelajar-pelajar di sini dirai dengan cara yang unik iaitu memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman menaiki motorsikal bersama 15 orang penunggang Erasetar Bikers.

“Semenjak penubuhan kumpulan ini pada 2011, setiap tahun kami akan mengadakan program amal ini dengan mengumpul dana daripada ahli kumpulan, perseorangan dan juga daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Meskipun dirai dalam majlis ringkas, anak-anak yatim dan asnaf ini ternyata berbesar hati dan gembira. Meskipun dirai dalam majlis ringkas, anak-anak yatim dan asnaf ini ternyata berbesar hati dan gembira.



“Kami menyahut baik seruan kerajaan dalam agenda “Kemakmuran Bersama” bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan melalui pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat menjelang tahun 2030, dan kami berharap agar jurang kemiskinan dapat diatasi dengan kestabilan ekonomi negara,” katanya di sebuah restoran makanan segera ketika meraikan pelajar ini.

Manakala menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, Mohd Nawawi Hamid, berkata aktiviti seperti ini sangat dihargai oleh pihak sekolah kerana pelajar-pelajarnya iaitu anak-anak yatim dan asnaf dapat merasai keseronokan pada bulan Ramadan.

“Kami bersyukur kerana kebajikan anak-anak ini dijaga. Tak sangka ada pihak yang sudi memberikan sumbangan duit dan makanan serta memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman menaiki motorsikal berkuasa besar,” ujarnya yang turut gembira melihat pelajarnya tersenyum.

Konvoi motorsikal Erasetar Bikers membawa pelajar-pelajar ke restoran makanan segera sempena majlis berbuka puasa beramai-ramai, serta turut menghulurkan sumbangan berbentuk duit raya kepada mereka.

-SH