Mukah Syurga Hasil Laut

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)  


MUKAH  28 Mei  (Malaysiaaktif) - Mukah merupakan sebuah daerah yang terkenal dengan ikan segar yang enak. Sama ada mitos atau kebetulan  di mana selepas sambutan perayaan kaul iaitu satu ritual kaum Melanau Mukah, pekan ini akan dibanjiri oleh tangkapan berbagai ikan segar yang enak.


Menurut sejarah budaya Melanau, sambutan kaul merupakan satu ritual tradisi sebagai cara untuk menyatakan kesyukuran serta memohon pertolongan daripada  ‘ipok-ipok’ agar laut dan darat dilimpahi rezeki yang berterusan  sepanjang tahun.


Perayaan kaul disambut pada bulan April iaitu musim transisi tengkujuh dan panas pada setiap tahun. Satu perarakan perahu menuju ke pantai untuk membawa persembahan kepada ‘ipok-ipok’ bagi menyatakan kesyukuran dan memohon kurniaan rezeki. Tetapi hari ini  sambutan kaul agak berubah kerana kehadiran agama dan budaya baru.


Sama ada perkara itu mempunyai kaitan atau tidak, pekan Mukah sentiasa dibanjiri oleh hasil laut tanpa mengira musim.  Pada musim panas tangkapan nelayan bertambah berkali ganda kerana laut kurang bergelora dan bot kecil boleh pergi kawasan yang lebih jauh lagi.




Saiz bot yang digunakan oleh nelayan turun ke laut tanpa mengira musim Saiz bot yang digunakan oleh nelayan turun ke laut tanpa mengira musim


Nelayan Mukah kebanyakan amat berani menempuh laut yang bergelora walaupun pada musim tengkujuh. Walaupun bot mereka kecil namun keberanian menempuh ombak amat dikagumi. Namun harga ikan pada musim tengkujuh meningkat berbanding musim panas kerana faktor cuaca, tangkapan berkurangan dan permintaan tinggi.


Fenomena kebanjiran ikan tamban, udang geragau, udang atau ‘payak’ (dalam bahasa melanau) dan ikan selar biasanya berlaku apabila musim panas bermula. Ikan selar dan tamban sangat popular, mendapat permintaan tinggi dan harganya mahal. Ikan selar yang ditangkap menggunakan pukat ‘panau’ harganya mahal berbanding yang ditangkap menggunakan pukat tangsi atau tunda.


Apabila sumber laut  ini melimpah, harganya akan menurun kerana perolehan melebihi permintaan. Biasanya ikan tamban dan selar akan melanda perairan Mukah pada bulan April sehingga bulan Julai.


Ikan segar dari kawasan perairan Mukah seperti pirang, bawal, tenggiri dan terubok biasanya dijadikan umai iaitu makanan mentah seiras sushi Jepun. Umai ini dibuat dalam dua cara iaitu umai campur dan umai cecah (sambal diasingkan).




Musim udang geragau yang ditangkap begitu banyak menggunakan ‘pakak’ tunda Musim udang geragau yang ditangkap begitu banyak menggunakan ‘pakak’ tunda


Walaupun harga ikan di Mukah dikatakan melambung tinggi pada waktu-waktu tertentu, namun pasar basah Mukah tetap menjadi perhatian pembeli ikan. Masyarakat Melanau Mukah tidak dapat dipisahkan daripada ikan. Mereka lebih suka memakan ikan berbanding dengan daging  ayam, lembu dan kambing.




Pasar basah Mukah sentiasa sibuk terutama waktu pagi Pasar basah Mukah sentiasa sibuk terutama waktu pagi


Masyarakat Melanau memproses ikan dalam berbagai cara masakan seperti umai, masak asam, masak kari, ikan masin basah dan kering (‘beloh’, ‘kidieng’, ‘’pipus’ ‘bahiek’, ‘tamok’ dalam Bahasa Melanau), salai, bakar, tebaloi ikan dan pais ikan (dibungkus dalam daun pisang atau nipah muda)


Keenakkan ikan perairan Mukah bukan sahaja diminati oleh masyarakat di sini tetapi juga masyarakat dari luar Mukah seperti Sibu, Selangau dan Kanowit. Malah masyarakat Brunei juga turun ke Mukah untuk membeli ikan segar atau ikan masin kering. Mereka yang datang dari Brunei suka membeli ikan tenggiri batang, bawal putih  dan hitam serta ikan laut dalam.


Kepelbagaian jenis ikan segar yang ditangkap sama ada menggunakan pukat, pancing, ‘panau’ tunda dan sebagainya sentiasa ada dijual di pasar basah Mukah. Stok ikan segar Mukah sentiasa ada walaupun pada musim tengkujuh ataupun perayaan.


Nelayan Mukah tetap setia ke laut tanpa mengira musim kerana laut menjanji kebahagiaan kepada mereka terutama nelayan kecil yang banyak bergantung kepada pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan.