Pandu Cermat Sampai Selamat

Laporan/foto: Kyadizah Abd Hamid (Lembah Pantai)

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MKJR WPKL) melancarkan OPS Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat WPKL 2019 dengan moto “Pandu Cermat, Sampai Selamat”

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) merangkap Timbalan Yang DiPertua MKJR WPKL Datuk Ismail Mohd Zawawi, pelaksanaan OPS Bersepadu dan kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para pengguna jalan raya tentang pematuhan undang-undang jalan raya semasa pulang ke kampung halaman sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

“Dengan kaedah pemanduan secara berhemah di jalan raya, ia pasti dapat menjamin keselamatan keluarga mahupun nyawa orang lain,” katanya sempena pelancaran tersebut di Plaza Tol Pantai Dalam (U), di sini semalam.

Konvoi OPS Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, yang turut disertai Pasukan Penguatkuasa JPJ WPKL diketuai oleh Ahmad Kamarunzaman Mehat bersama kekuatan tiga anggota Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) dan 20 orang anggota dari Unit Operasi JPJ WPKL.

Agensi lain yang turut terlibat adalah dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) dan Jabatan Alam Sekitar.

Dalam pada itu, Jabatan Penerangan WPKL turut mengambil kesempatan mengedarkan risalah maklumat mengenai Tabung Haji, Felda dan Statut Rome kepada pemandu jalan raya semasa sesi simbolik penyerahan bahan kempen kepada pengguna jalan raya dan pelepasan oleh Pasukan Penguatkuasa dan Pasukan Penyelamat Bomba.

-SH