Kempen Keselamatan Jalan Raya Kurangkan Kemalangan Maut

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 1 Jun (Malaysiaaktif) - Kempen keselamatan jalan raya yang dilaksanakan kerajaan khususnya di musim perayaan bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut dalam skala yang besar.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar, berkata melalui kempen berterusan ianya banyak membantu mengurangkan statistik kemalangan maut dengan purata 18 kes sehari pada tahun 2018 berbanding 19 kes pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, pemandu kenderaan perlu sentiasa mengutamakan pemanduan berhemah di samping sampai ke destinasi dengan selamat.

"Peratusan kemalangan jalan raya tinggi di musim perayaan kerana pertambahan trafik, kenderaan pula dipandu laju, terdesak dan berkejar (masa).

"Pemandu kenderaan persendirian, bas atau pun lori perlu letak keutamaan untuk sampai ke destinasi dengan selamat bukan hanya kepada diri sendiri tetapi juga penumpang yang dibawanya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Program Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.

Jelas Kamarudin, beliau menggalakkan orang ramai untuk merakam kesalahan yang dilakukan seperti memanduan secara berbahaya, laju dan menggunakan lorong kecemasan.

"Tanggungjawab sivik setiap pengguna jalan raya amat dihargai bukan sahaja menjaga diri sendiri tetapi untuk mencegah kemalangan.

"Sila berikan maklumat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya tindakan dapat diambil," katanya.

-NAZ