1,127 Pemeriksaan Dijalankan di Bazar Ramadan Seluruh Labuan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 7 Jun (Malaysiaaktif) - Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan melakukan 1,127 pemeriksaan dan pemantauan ke atas tujuh kawasan bazar ramadan seluruh Labuan sepanjang Bulan Ramadan lalu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tujuh kawasan tersebut adalah bazar Labuan Walk, bazar Ujana Kewangan, bazar Pasar Sentral, bazar Layang Layangan, bazar Anjung Selera Batu Arang, bazar Matrikulasi dan bazar UMSKAL Labuan.

Menurut Timbalan Pengarah KPDNHEP WP Labuan, Anual Kannari, Sepanjang pemantauan dan pemeriksaan, para peniaga didapati mematuhi penguatkuasaan yang telah ditetapkan seperti meletakkan tanda harga pada barangan yang dipamer bagi tujuan perdagangan dan tiada sebarang tindakan undang - undang yang diambil ke atas para peniaga di kesemua bazar ramadan.

Selain itu katanya, Sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Kaamatan 2019, 360 premis diperiksa dan sepanjang tempoh masa tersebut tiada sebarang ketidakpatuhan yang dikesan dilakukan oleh peniaga.

Peniaga memberikan kerjasama kepada Penguatkuasa KPDNHEP yang sedang menjalankan pemantauan Peniaga memberikan kerjasama kepada Penguatkuasa KPDNHEP yang sedang menjalankan pemantauan



"Lokasi tumpuan pemeriksaan ialah di pasar awam dan premis-premis tumpuan utama seperti di Pasar Sentral dan Pasar Peladang selain premis-premis runcit dan borong di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Secara umum didapati harga di peringkat borong dan runcit mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan.

"Tiada isu masalah kekurangan bekalan dan harga jualan borong dan runcit bagi 14 barangan terlibat mematuhi harga kawalan yang telah ditetapkan," katanya.

Tambahnya, kejayaan perlaksanaan itu adalah hasil kerjasama yang amat baik dari pemborong, peruncit serta pengguna di samping kerjasama pengamal media yang memberi publisiti perlaksanaan pemantauan oleh pihak KPDNHEP.

-EM