Jabatan Kesihatan Kelantan Nafi Kematian Kanak-Kanak Orang Asli di HRPZ II

PUTRAJAYA, 10 Jun (Malaysiaaktif) - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan bahawa kenyataan merujuk kepada dakwaan dalam media sosial bahawa seorang lagi Orang Asli dari Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini Ahad adalah tidak benar.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, pesakit berumur tiga tahun itu masih dalam rawatan di Wad intensif Kanak-Kanak di HRPZ II dan didiagnosis mengalami broncopneumonia selain mempunyai masalah kurang zat makanan.

Beliau berkata pada masa yang sama juga jabatan ingin memaklumkan pada semalam pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah telah melakukan carian kes secara aktif di Kuala Koh dan menemui 54 kes lagi yang mempunyai gejala demam dan batuk.

"Kes-kes ini telah dibawa Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk pemeriksaan dan rawatan. Sebanyak 25 kes dirawat sebagai pesakit luar, 20 orang dirujuk ke Hospital Gua Musang, 6 orang rujuk ke Hospital Kuala Krai dan tiga kes ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA).

"Satu kes yang dirujuk ke Hospital Kuala Krai telah dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II. Jumlah penduduk yang telah disaring sehingga semalam adalah 155 orang dengan 83 mempunyai gejala," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya mengenai kedudukan kes sekarang ialah seramai 37 orang dirawat sebagai pesakit luar, 32 orang dirawat di Hospital Gua Musang, 10 orang di Hospital Kuala Krai, seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan tiga orang di RIKA.

Tambahnya, berdasarkan gejala klinikal dan cara jangkitan, kes-kes ini disyaki mendapat jangkitan saluran pernafasan atau pneumonia.

Dr Zaini berkata pada masa ini, aktiviti pencegahan dan kawalan telah dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang dengan mengadakan pendidikan kesihatan seperti ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kebersihan diri serta persekitaran.

Katanya penekanan juga diberikan berkaitan kepentingan pengasingan penduduk yang mempunyai gejala dan carian kes secara aktif masih diteruskan di perkampungan Orang Asli ini.

"Jabatan Kesihatan juga menasihatkan supaya pergerakan masuk individu ke perkampungan itu dihad bagi mengelakkan penyebaran penyakit.

"Kita juga akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam pengurusan pencegahan dan kawalan kejadian ini," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata kesemua mereka yang mempunyai tanda jangkitan kuman pada saluran pernafasan dalam keadaan terkawal dan semakin pulih.

Beliau bagaimanapun berkata pemeriksaan klinikal mendapati semua mangsa mempunyai tanda-tanda jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia) dan bukanlah penyakit tibi atau penyakit bawaan air serta disebabkan keracunan bahan kimia.

"Seramai 33 orang pesakit ditempatkan di Hospital Gua Musang dan 14 orang di Hospital Kuala Krai. Kesemua mereka yang dirawat dalam wad adalah terkawal dan telah menunjukkan keadaan semakin pulih," katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.

Terdahulu beliau membuat lawatan ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan penjelasan dan taklimat dari pengarah hospital itu berkaitan keadaan semua pesakit Orang Asli.

Beliau juga telah mendapatkan makluman lebih awal daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin berhubung insiden itu.

Dalam status sama, Izani turut mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan semua yang terlibat dalam memberi rawatan kepada semua pesakit yang terlibat. -- BERNAMA