Pembinaan CSR Bakal Manfaatkan Lebih Tiga Juta Pengguna

Laporan/foto: Azhar Hj Ismail/ Utusan.com.my/ Picdeer.com (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 11 Jun (MalaysiaAktif) - Sebahagian besar pengguna jajaran Kota Bharu - Gua Musang - Kuala Lumpur mengambil masa hampir 14 jam atau lebih pada Sabtu (8 Jun) lalu.

Laporan media sosial mendakwa kesesakan kali ini paling 'ganas' kerana berlaku situasi pergerakan pegun pada satu tempoh yang lama di beberapa lokasi.

Menurut Aisyah Mohd Yusof, 31, yang mengalami kesesakan semalam berkata kawasan paling teruk ialah bermula di Laloh Kuala Krai hingga ke Gua Musang.

"Kenderaan langsung tidak bergerak sekitar jam 8.00 malam hingga 10.00 malam. Tidak pasti ianya berpunca daripada kemalangan atau sikap pemandu tapi yang pasti ianya statik selama hampir 2 jam," jelas Aisyah lagi.

Kesesakan jalur Kota Bharu - Gua Musang semasa musim perayaan dan cuti umum telah menjadi satu kebiasaan bagi pengguna laluan ini. Namun demikian kesesakan kali ini dilihat paling parah.

Manakala Saipuddin Awang, 31, seorang jurutera awam di syarikat swasta berkata, pembinaan jalur Gua Musang - Kota Bharu adalah satu keperluan mendesak.

"Dengan terbinanya 'Central Spine Road' (CSR) yang diumumkan oleh kerajaan baharu ini, akan memberi manfaat yang besar kepada pengguna jaluran ini khususnya anak Kelantan yang sentiasa berulang alik Kota Bharu - Kuala Lumpur - Kota Bharu," ujar beliau lagi.

Peta Jajaran CSR yang menghubungkan Kota Bharu ke Simpang Pelangai, Bentong (foto kredit: AmazingNara) Peta Jajaran CSR yang menghubungkan Kota Bharu ke Simpang Pelangai, Bentong (foto kredit: AmazingNara)



Pembinaan CSR yang menghubungkan Gua Musang - Kota Bharu bakal menjimatkan masa perjalanan serta kesesakan serius dan bermusim ini. Pengguna juga merasa lebih selamat dan selesa dengan fasiliti yang bakal disediakan.

Menurut Saipuddin juga, laluan darat tetap menjadi pilihan sebahagian warga Kelantan khususnya yang tinggal di daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang, Rantau Panjang dan Pasir Puteh.

"Ini kerana daerah-daerah ini merupakan jalur-jalur utama yang menghubungkan Kelantan dengan negeri lain sama ada Pantai Barat, Selatan, Utara serta Pantai Timur sendiri. Lagi pun kedudukan lapangan terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa lebih memudahkan penduduk di kawasan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Mas," jelas beliau lagi.

Sehubungan itu beliau amat berharap pembinaan CSR dapat dipercepatkan bagi memudahkan rakyat Kelantan khususnya serta pelancong daripada luar ke Kelantan.

"Perjalanan yang melebihi 10 jam adalah sangat memenatkan. Kalau naik kapal terbang ke Madinah pun baharu 8 jam," ujar Saipuddin sebelum megakhiri perbualan di telefon pagi ini.

-NAZ