LHP Gusar Kesesakan Penjara di Sabah

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 11 Jun (Malaysiaaktif) - Lembaga Hakim Pelawat Penjara Negeri Sabah (LHP) gusar akan kesesakan penjara yang terdapat di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Katherine Lee Mei Oi berkata penjara di negeri ini telah melebihi kapasiti penghuni yang sepatutnya.

"Memeriksa blok-blok penjara merupakan salah satu tugas LHP dan kami dapati blok penjara yang sepatutnya menempatkan hanya 5,000 penghuni telah melebihi kapasiti menjadi kira-kira 9,000 penghuni pada masa ini.

"Peningkatan ini menimbulkan tekanan dan kekecohan bukan sahaja dalam kalangan penghuninya, malah turut memberikan impak kepada pegawai penjara.

Katherine (kanan) memaklumkan keadaan penjara di Sabah serta cadangan bagi mengatasinya kepada Tun Juhar (kiri). Katherine (kanan) memaklumkan keadaan penjara di Sabah serta cadangan bagi mengatasinya kepada Tun Juhar (kiri).



"Salah satu sebab yang menyumbang kepada masalah ini adalah hukuman penjara yang dijatuhkan bagi jenayah kecil," katanya sejurus mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pada Isnin.

Menurutnya, tujuan kunjungan tersebut adalah bagi memaklumkan Tun Juhar akan keadaan penjara-penjara di sini serta mencadangkan langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya.

"Hukuman Perkhidmatan Komuniti bagi jenayah kecil seperti kes mencuri, penyalahgunaan dadah dan kes imigresen merupakan antara hukuman yang boleh diambil bagi mengurangkan kadar penghuni di penjara sekaligus membolehkan mereka memberi khidmat kepada masyarakat.

"Contohnya, penghuni yang diselia oleh kakitangan keselamatan penjara melakukan perkhidmatan seperti memotong rumput di taman atau pejabat, membersihkan parit tersumbat juga membersihkan sungai dan sisa industri.

Katherine (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Juhar (dua dari kanan) sambil diperhati Setiausaha LHP, Dr Christopher Chu Chi Ming (kiri) dan salah seorang ahli LHP, Datuk John Sikayun (kanan). Katherine (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Juhar (dua dari kanan) sambil diperhati Setiausaha LHP, Dr Christopher Chu Chi Ming (kiri) dan salah seorang ahli LHP, Datuk John Sikayun (kanan).



"Menjalani hukuman seperti ini lebih berguna selain menjimatkan perbelanjaan serta kos yang perlu ditanggung kerajaan sekiranya mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan," katanya.

Tambah Katherine, mahkamah disyorkan untuk mengkaji semula mengenai tempoh hukuman penjara dan melaksanakan hukuman khidmat komuniti bagi pesalah sepadan dengan kesalahan yang dilakukan.

"Kini, terdapat lima orang sahaja pesalah yang menjalankan khidmat komuniti yang pernah mencecah seratus orang sebelum ini," kongsinya.

-EM