Kelas Anyaman Tellian Ketengah Seni tradisi Melanau

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)


Mukah, 13 Jun (Malaysiaaktif) - Kelas Anyaman Tellian Tengah ditubuhkan sebagai pelopor aktiviti seni dan ekonomi kecilan bagi komuniti Kampung Tellian Tengah dan Ulu. Kini  ia  semakin popular dan diminati oleh golongan tua dan muda, lelaki mahupun perempuan.


Kelas tersebut terletak di bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian berhadapan dengan Pusat Komersial (PK) Kampung Tellian. Ia  dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang. 




Para peserta sedang menyediakan bahan seperti tali plastik berbagai warna untuk menghasilkan corak yang lebih menarik Para peserta sedang menyediakan bahan seperti tali plastik berbagai warna untuk menghasilkan corak yang lebih menarik


Penubuhan kelas ini adalah atas inisiatif badan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon 1 dan 2 yang dipengerusi bersama oleh Dura Bata dan Mohamad Aris Abdullah serta diselia oleh Ketua Kampung (KK)Tellian Tengah/Seri Tellian, Boneventure Juana Lupieh.


Aktiviti seni ini cuba mengetengahkan corak seni tradisi yang mempunyai ciri-ciri menarik bagi barangan kraftangan. Kaum Melanau Mukah mempunyai corak seni tradisi yang mempunyai nilai estetika dan budaya tersendiri bagi busana, anyaman, kraft dan  aksesori.




Dua orang peserta berbincang berkenaan dengan corak anyaman Dua orang peserta berbincang berkenaan dengan corak anyaman


Bagaimanapun, kini melalui aktiviti silang budaya dengan masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu telah menjadikan corak seni tradisi Melanau sedikit sebanyak berubah. Hasil daripada aktiviti tersebut juga menyebabkan seni anyaman mempunyai pelbagai bentuk dan  corak.


Menurut Mohamad Aris Abdullah KRT Kampung Seri Tellian (Tellian Tengah), “Kelas Anyaman Tellian ini dibuka adalah untuk berkongsi teknik dan seni anyaman tradisi dan moden di samping mempelbagaikan kegiatan seni tangan bagi kesinambungan generasi khususnya golongan muda.


“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan ekonomi komuniti  sebagai pendapatan sampingan mereka,” ujar Mohamad Aris.


Sehingga kini  lebih  50 orang peserta terdiri daripada penduduk Kampung Tellian Tengah dan Ulu telah giat menganyam berbagai peralatan seperti bakul, tikar,  paka, dan babat, menggunakan tali plastik (strapping band) mengikut citarasa serta kreativiti masing-masing melalui bimbingan tenaga pengajar.




Slaman Tuna, pembimbing kelas bersama YB Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib, Ahli Parlimen Mukah dan Diana Ros melihat hasil anyaman para peserta Slaman Tuna, pembimbing kelas bersama YB Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib, Ahli Parlimen Mukah dan Diana Ros melihat hasil anyaman para peserta


Menurut Dura Bata, “kini kelas anyaman dibimbing oleh Slaman Tuna dan Jhony Anthony Menduri. Kami turut mempelawa sesiapa yang berminat  dari mana-mana kampung di Bahagian Mukah untuk menyertai kelas anyaman ini dengan percuma tetapi peralatan disediakan sendiri oleh para peserta.


“Kelas atau bangunan ini bukan sahaja untuk aktiviti anyaman tetapi  juga memberi bimbingan bagi kelas membuat kuih-muih serta jahitan. Sekiranya ada dana nanti, kita  gunakan bagi membeli bahan keperluan kepada mana-mana aktiviti yang diadakan di sini,” tambah beliau lagi.


Aktiviti seni seperti ini telah memberi dimensi baru dalam kalangan masyarakat Melanau khususnya dari Kampung Tellian Tengah dan Ulu bagi memastikan khazanah seni tersebut diwarisi oleh generasi muda.


Melalui tunjuk ajar dari tenaga yang mahir dan terlatih pasti banyak lagi anyaman yang lebih kreatif dari segi bentuk dan coraknya. Penduduk Tellian Tengah dan Ulu disarankan untuk mempelajari supaya mereka tidak ketinggalan mempelajari dan mempelopori seni anyaman ini.