PES Dana Pemuliharaan Kawasan Biodiversiti

Laporan/foto: Sahiman Rahman/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)

INANAM, 18 Jun (Malaysiaaktif) - Pelaksanaan projek perintis bagi pelaksanaan skim Pembayaran bagi Perkhidmatan Ekosistem (PES) menjadi dana bagi pemuliharaan kawasan sumber biodiversiti.

SUASANA....Christina ketika berucap merasmikan sambutan hari biodiversiti sedunia 2019 peringkat negeri. SUASANA....Christina ketika berucap merasmikan sambutan hari biodiversiti sedunia 2019 peringkat negeri.



Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata ia adalah satu platform di mana pihak-pihak berkepentingan yang mendapat perkhidmatan ekosistem daripada sumber biodiversiti menyumbang dana bagi pemuliharaan kawasan itu.

"Dana akan digunakan secara khusus untuk meningkatkan sumber biodiversiti di kawasan tersebut merangkumi perbelanjaan pemuliharaan, penambahbaikan sistem pengurusan, serta membantu penduduk yang bergantung dengan sumber biodiversiti dalam kehidupan mereka.

Ketibaan Christina (dua dari kiri) disambut oleh Jasmin (kiri) dan Rony (empat dari kiri). Ketibaan Christina (dua dari kiri) disambut oleh Jasmin (kiri) dan Rony (empat dari kiri).



"Pelaksanaan PES harus disokong oleh dasar yang jelas agar semua pihak terlibat tahu akan peranan dan peluang masing-masing dalam penjagaan sumber ini.

"Oleh yang demikian, kerajaan Sabah telah meluluskan projek penggubalan Dasar PES yang akan dibiayai oleh United Nations Development Programme-Global Environment Facility (UNDP-GEF)," katanya dalam ucapan merasmikan Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia 2019 Peringkat Negeri Sabah di Kampung Kolosunan, hari ini.

Christina (kanan) menerima cenderamata daripada Jasmin (dua dari kanan). Christina (kanan) menerima cenderamata daripada Jasmin (dua dari kanan).



Tambah beliau, pelaksanaan PES bertepatan dengan tema sambutan iaitu “Our Biodiversity, Our Food, Our Health” (Biodiversiti Kita, Makanan Kita, Kesihatan Kita), maka keterlibatan dan kerjasama semua pihak dalam meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar termasuk biodiversiti memastikan ia terus menyumbang kepada kemakmuran kehidupan di masa hadapan.

Sebanyak tiga buah kampung terpilih sebagai lokasi Projek Perintis Kebersediaan Komuniti iaitu Kampung Kolosunan, Kampung Babagon Toki dan Kampung Tampasak bagi skim tersebut.

Dalam pada itu, turut berlangsung adalah acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara komuniti yang terlibat dalam projek Perintis PES dan kerajaan Sabah yang diwakili oleh Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Turut hadir, Setiausaha Hasil Bumi Sabah, Jasmin Julpin; Wakil ADUN N.13 Inanam, Rony Roger; Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

-EM