Sambutan Gawai Raya Pengukuh Perpaduan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)


KUCHING, 29 Jun (Malaysiaaktif) - Bersempena dengan dua perayaan yang disambut hampir serentak pada bulan Jun, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Perhubungan Masyarakat (PKPM) JaPen Sarawak tidak ketinggalan  merai sambutan tersebut.


Majlis sambutan Gawai Raya disambut dalam suasana sederhana tetapi meriah oleh anggota PKPM yang berbilang agama dan kaum juga turut dihadiri oleh  ‘pengabang’ dari bahagian Penerbitan dasar Negara, Media Sosial, Komunikasi Visual dan Senireka  serta Khidmat Pengurusan dan Kewangan.


Jamuan yang disediakan secara ‘potluck’oleh anggota PKPM dengan pelbagai juadah seperti kuih-muih, buahan, minuman dan makanan moden serta tradisional. Anggota PKPM bekerjasama menyediakan persiapan dan kelengkapan bagi merai anggota PKPM dan tetamu yang datang dari bahagian dan cawangan lain.


Di dalam majlis yang sama, Ketua Penolong Pengarah PKPM, Ajes Tuah turut menyampaikan cenderamata kepada Christy Lemon dan Jemat Saie yang masing-masingnya telah berpindah ke Bahagian Penerbitan Dasar Negara dan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat. Beliau mengucapkan terima kasih di atas jasa dan sumbangan yang diberikan sepanjang kedua-dua anggota ini berkhidmat di Bahagian PKPM.


Ajes Tuah turut mengucapkan terima kasih ke atas kerjasama anggota PKPM yang membuat persiapan dan menyediakan juadah bagi merai sambutan tersebut. Beliau gembira dengan cara anggota bekerja dan berharap ia berterusan bagi mana-mana aktiviti atau program yang dilakukan.


“Bersempena dengan sambutan Gawai Raya ini, saya ingin mengucapkan salam kemaafan sekiranya ada tutur kata dan perbuatan yang menyinggung perasaan tuan-tuan dan puan-puan.”


“Sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Semoga pada bulan yang mulia ini  kita harusnya saling bermaaf-maafan,” tambah beliau lagi.


“Saya amat gembira melihat rakan-rakan di PKPM ini menjunjung semangat kerjasama tinggi semasa menjalankan kerja,” ujar Loseyeffer Molly, salah seorang daripada anggota yang terlibat menganjur majlis.


Walaupun majlis dirai secara sederhana namun sambutan ini memberi impak terutamanya terhadap perpaduan, kerjasama, kesejahteraan dan hubungan silatulrahim dalam anggota dan pegawai di PKPM khasnya dan JaPen amnya.