Selendang Kalis Air ke Peringkat Akhir SME Bank Business Challenge

Laporan/foto: Robin Junang/Siti Fairuz Ngatenan (Sarawak)


KUCHING, 3 Julai  (Malaysiaaktif) - Empat orang pelajar Kolej Komuniti Kuching akan berentap sebagai finalis di peringkat akhir SME Bank 90-Days Business Challenge 2019 yang bakal diadakan 6 hingga 8 Julai depan di Kuala Lumpur.


Peringkat akhir ini bakal menyaksikan sebanyak 20 kumpulan finalis daripada Kolej Komuniti dan Politeknik seluruh negara yang akan merebut gelaran juara dan membawa pulang wang tunai serta Piala SME Bank 90-Days Challenge 2019.


Pertandingan berbentuk keusahawanan ini merupakan inisiatif SME Bank yang khusus dianjurkan kepada pelajar Kolej Komuniti dan Politeknik di Malaysia sebagai platform melatih diri tentang bidang keusahawanan di kolej masing-masing.




Pemilik dan kakitangan Chandani Fashion sedang menyiapkan tempahan selendang kalis air Pemilik dan kakitangan Chandani Fashion sedang menyiapkan tempahan selendang kalis air


Tahun 2019 merupakan kali kedua Kolej Komuniti Kuching menyertai pertandingan ini di mana pada tahun 2017 kolej ini berjaya menduduki tempat kedua dalam pertandingan akhir dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.


Pada  tahun lalu, Kolej Komuniti Kuching mengetengahkan produk pelancongan untuk dipertandingkan tetapi pada tahun ini akan mempertaruhkan syarikat Chandani Fashion yang membekal dan menjual selendang kalis air (waterproof).


Syarikat Chandani Fashion dimiliki sepenuhnya oleh  pelajar Kolej Komuniti Kuching yang terlibat dengan program inkubator keusahawanan.  Mereka terdiri daripada seorang pengurus dan pemilik iaitu Fatin Athirah Faizul Afsar serta tiga orang kakitangan iaitu Nurul Izzah Dahlan, Siti Masitah Abdul Rahman dan Sabrina Jasmine Abu Hassan.  Keempat-empat pelajar ini merupakan pelajar semester tiga bagi kursus Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP).


Kekuatan Chandani Fashion terletak atas keunikan produk yang ditawarkan di mana mereka merupakan satu-satunya usahawan membekalkan produk selendang kalis air di Sarawak.  Selendang ini dilengkapi dengan teknologi nano (NanoTech Coating) yang membolehkan ia menjadi kalis air sekaligus mudah untuk dicuci dan dikeringkan. Selain itu, kesemua kakitangan Chandani Fashion juga dibekalkan dengan latihan dan kursus yang bersesuaian bagi membolehkan mereka menimba pengalaman di dalam bidang fesyen dan keusahawanan.




Pemilik dan kakitangan Chandani Fashion bergambar kenangan bersama Pembimbing Inkubator Keusahawanan Puan Nurul Dafiqah Kamarulzaman (tengah) semasa sesi boot camp di Kuala Lumpur Pemilik dan kakitangan Chandani Fashion bergambar kenangan bersama Pembimbing Inkubator Keusahawanan Puan Nurul Dafiqah Kamarulzaman (tengah) semasa sesi boot camp di Kuala Lumpur


Mereka dibimbing oleh tiga orang pensyarah yang bertanggungjawab sebagai Pembimbing Inkubator Keusahawanan iaitu Puan Nurul Dafiqah Kamarulzaman, Penasihat Teknikal iaitu Puan Nur Izzah Abdul Kadir dan Pegawai Keusahawanan, Puan Nur Yasmin Yaman.


Menurut Puan Nurul Dafiqah Kamarulzaman, penglibatan Chandani Fashion di dalam Program Inkubator Keusahawanan adalah seawal bulan Jun 2018.  Sepanjang tempoh tersebut, prestasi syarikat ini sentiasa dipantau dan dinilai oleh SME Bank.


Menurut Nurul, pada bulan Mac yang lalu, mereka juga telah mengikuti sesi boot camp yang diadakan di Selangor sebagai persediaan untuk meningkatkan pengetahuan mereka tentang keusahawanan. Semasa sesi boot camp, Centre for Entrepreneur Research and Development Sdn. Bhd. (CEDAR), sebuah anak syarikat milik penuh SME Bank, telah menyampaikan taklimat dan bengkel keusahawanan sebagai bimbingan untuk pelajar dalam menghasilkan kertas kerja mereka. Mereka juga akan didedahkan kepada kemahiran kepimpinan, ceramah motivasi dan pengucapan umum untuk meningkatkan keyakinan diri untuk berucap di khalayak ramai.


 “Pada ketika ini Chandani Fashion beroperasi di bangunan Kolej Komuniti Kuching dan bergiat aktif dalam menjalankan perkhidmatan jahitan secara pukal kepada usahawan-usahawan fesyen di Sarawak dan seterusnya merancang untuk meningkatkan hasil jualan dengan meluaskan pasaran produk selendang kalis air ke Negara Brunei Darussalam”, ujar beliau lagi.


Beliau menambah, menjadi satu-satunya wakil dari negeri Sarawak, Kolej Komuniti Kuching mempunyai harapan tinggi agar dapat mengharumkan nama negeri ini di peringkat kebangsaan dan membawa pulang trofi kejuaraan.