Pesona Warisan Songket dan Keringkam Sarawak

Laporan/foto : Mahdini Jaini/Jaed Tepus (Sarawak)

KUCHING,7 Julai (Malaysiaaktif) – Pelengkap busana tradisional wanita Melayu di Sarawak yang digelar keringkam merupakan warisan jati wanita Melayu Sarawak yang menonjolkan keayuan dan kelembutan si pemakai menerusi keindahan seni tekat sulaman pada fabrik keringkam tersebut.


Keringkam terdiri daripada selendang berukuran dua meter atau tudung kepala bersaiz kecil berukuran satu meter, kebiasaannya menggunakan kain kasa rubia berwarna terang seperti merah, ungu muda dan merah jambu bertujuan untuk menyerlahkan keanggunan wanita semasa berada di acara keramaian seperti majlis perkahwinan dan perayaan. Pada zaman dahulu, pemakaiannya melambangkan status sosial wanita Melayu Sarawak daripada golongan bangsawan kerana harganya yang mahal namun selaras dengan peredaran masa, ianya kini turut dipakai oleh golongan biasa sebagai tanda menghargai warisan budaya asli tempatan.


Seri kain keringkam terletak pada kehalusan seni sulaman dan motif corak yang ditekat menggunakan benang pita logam bersalut enas atau perak. Pengusaha keringkam tempatan perlu mendapatkan benang emas dan perak ini menerusi pembekal dari luar negara seperti Singapura. Kesukaran memperoleh bekalan benang dan penghasilannya yang agak sulit menjadikan keringkam produk khazanah bernilai tinggi di pasaran. Harga tempahan sehelai mampu mencecah sehingga puluhan ribu ringgit Malaysia bergantung kepada sarat dan motif sulaman mengikut kehendak pelanggan.




Peragaan fesyen bermotifkan songket dan keringkam oleh pereka fesyen kelahiran Bumi Kenyalang iaitu Dato’ Tom Abang Saufi Peragaan fesyen bermotifkan songket dan keringkam oleh pereka fesyen kelahiran Bumi Kenyalang iaitu Dato’ Tom Abang Saufi


Kerja penghasilan keringkam yang rumit serta memerlukan ketelitian tinggi adalah antara faktor ianya kurang diterokai oleh golongan anak muda masa kini.


Bagi memartabatkan pesona warisan keringkam dan juga songket Sarawak, Program Lembaran Emas: Songket & Keringkam Sarawak telah diadakan di Dewan Undangan Negeri Sarawak (Baru), kelmarin. Program yang melibatkan pameran serta peragaan fesyen songket dan keringkam ini merupakan acara pembukaan ‘Rainforest Fringe Festival’ sempena Tahun Melawat Sarawak pada tahun 2019.


Salah seorang pelajar kursus Keringkam di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) ketika ditemui, Hajah Norliza Sa’di berkata, beliau berminat untuk mempelajari seni keringkam memandangkan ianya antara khazanah unik yang perlu terus dipelihara agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang.


“Nilai sejarah keringkam tiada tandingan dan menyedari hakikat ini, saya berusaha untuk mempelajari teknik penghasilan keringkam agar dapat turut serta menjaga warisan negeri”, kata Norliza yang berasal dari Kampung Nombor Lima dan kini menetap di Taman Hussein Kuching.


Beliau yang sudah enam bulan menjalani kursus tersebut berharap agar lebih ramai anak muda berminat mempelajari ilmu penghasilan keringkam memandangkan kebanyakan mereka yang mengikuti kursus keringkam cenderung kepada golongan wanita yang telah berusia.


Menurut Suhana Sarkawi, 42, penyelidik Keringkam dan Songket Sarawak serta pensyarah Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak Sarawak pula, wajar bagi anak tempatan Sarawak sendiri untuk menghargai nilai estetika keringkam yang merupakan produk asli yang memiliki sejarah menarik melibatkan kaum wanita Melayu Sarawak.




Suhana Sarkawi mengenakan pakaian tradisional masyarakat Melayu Sarawak semasa acara malam tersebut Suhana Sarkawi mengenakan pakaian tradisional masyarakat Melayu Sarawak semasa acara malam tersebut


“Pengalaman menelusuri keunikan khazanah keringkam ini bermula dengan perasaan ingin tahu akan sejarah dan budaya zaman dahulu masyarakat Melayu Sarawak memandangkan ketika itu saya melakukan kajian sarjana berkaitan budaya Melayu Sarawak beberapa tahun lepas. Meskipun saya merupakan guru bahasa Inggeris berkelulusan TESL, namun rasa kecintaan bagi memartabatkan warisan negeri membuatkan saya terus komited memperluan pengalaman dan ilmu dalam seni keringkam untuk dikongsi bersama,” kata Suhana yang juga bertanggungjawab sebagai felo penyelidik projek Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) yang merupakan inisiatif kerajaan tempatan untuk memelihara dan memulihara warisan negeri Sarawak.


Menyentuh keunikan songket Sarawak pula, wartawan berkesempatan menemuramah salah seorang pengusaha songket tenunan Sarawak yang berasal dari Gedong, Simunjan iaitu Siti Hawa Salleh, 49 tahun. Beliau sudah terlibat dalam industri tenunan songket Sarawak selama hampur 20 tahun dan memiliki jenama perusahan sendiri iaitu ‘ Permata Songket Gedong’.


“Permintaan terhadap produk songket tenunan tangan ini amat menggalakkan sepanjang tahun walaupun nilai pasaran sehelai songket Sarawak ini melebihi rbuan ringgit Malaysia ke atas. Songket yang ditempah dihasilkan mengikut citarasa pembeli melalui pemilihan warna songket dan motif tenunan,” kongsi Siti Hawa.




Siti Hawa menunjukkan demonstrasi menenun songket Sarawak tenunan tangan Siti Hawa menunjukkan demonstrasi menenun songket Sarawak tenunan tangan


Ciri menarik songket Sarawak adalah ianya memiliki jahitan di bahagian dalam dan luar yang sama dan kemas, menjadikan kedua-dua bahagian songket boleh dipakai disebabkan cara penghasilannya menggunakan teknik ‘sembunyi benang’.


Salah seorang pembantu projek “Rainforest Fringe Festival”, Sofia Tendai Jonathan,24 menyatakan beliau berharap agar Program Lembaran Emas: Songket dan Keringkam Sarawak ini mencapai objektif penganjurannya untuk memberi kesedaran tentang nilai budaya dan warisan tempatan kepada rakyat di negeri Sarawak.


“Istimewanya malam ini selain pameran sejarah tekstil keringkam dan songket yang melibatkan demonstrasi para pengusaha tempatan adalah pertunjukan fesyen oleh para pereka terkenal Malaysia seperti Dato’ Bernard Chandran, Dato’ Tom Abang Saufi dan Butik ‘Tanoti House”, kongsi Sofia.


Antara acara yang menggamit perhatian malam kelmarin adalah persembahan gambaran “AdatTikar Nyunsong Pengantin” iaitu segulung tikar yang dibalut dengan keringkam yang merupakan adat lama permulaan upacara persandingan masyarakat Melayu Sarawak sebagai simbolik kesediaan pengantin wanita menerima kehadiran pengantin lelaki.




Peragaan busana pengantin masyarakat Melayu Sarawak, “Gajah Olen” Peragaan busana pengantin masyarakat Melayu Sarawak, “Gajah Olen”


Selain itu peragaan busana Gajah Olen, pakaian tradisional pengantin Melayu Sarawak juga mengimbau keindahan khazanah tradisi unik Melayu Sarawak yang masih dikekalkan sehingga sekarang.


Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan berangkat menghadiri majlis ini kelmarin. Baginda telah meluangkan masa mengunjungi tapak pameran songket dan keringkam sebelum berkenan menyaksikan acara peragaan fesyen.


Program Lembaran Emas anjuran kerajaan Negeri Sarawak ini bertindak sebagai platform memartabatkan industri songket dan keringkam Sarawak di peringkat antarabangsa dengan kehadiran pelbagai jemputan dari dalam dan luar negara.