Mohd Qhairol Johan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sabah 2019

Laporan/foto: Juslie Bacle/Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 8 Jul (Malaysiaaktif) - Mohd Qhairol Iqhssan Yusof dinobatkan Johan Pertandingan Pidato Kenegeraan Peringkat Negeri 2019 seterusnya akan mewakili Sabah ke Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Qhairol yang mewakili Zon Pedalaman Atas dengan tajuk pidato 'Budi Bahasa Budaya Kita' berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1500, plak dan sijil penyertaan.

Beliau mengalahkan lima peserta lain dari Zon Pedalaman Bawah, Zon Pantai Barat Selatan, Zon Pantai Barat Utara, Sandakan dan Tawau yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Manakala Naib Johan pula disandang Mohamad Shakendy dari Zon Pantai Barat Utara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1000 diikuti tempat ketiga dari peserta dari Zon Tawau, Dahlan Badue memenangi hadiah wang tunai RM500 dan masing-masing membawa plak serta sijil penyertaan.

Hadiah-hadiah tersebut disampaikan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Yunus Saprin, di sini semalam.

Program tersebut diadakan bersempena dangan Program Pameran Malaysia Baharu yang diadakan bermula dari 5 hingga 7 Julai.

-SH