Ketua Menteri Terima Kunjungan PAB

Laporan/foto: Asmidar Zainol/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 8 Jul (Malaysiaaktif) - Panglima Angkatan Bersama (PAB), Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Haji Mohd Zuki melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Menurut Suhaimi, kunjungan tersebut adalah bagi memperkenalkan diri beliau sebagai Panglima Angkatan Bersama baharu selepas dilantik menggantikan Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman pada Januari lepas.

“Kami turut mengadakan perbincangan berkenaan kerjasama bagi meningkatkan keselamatan dengan memperketatkan lagi operasi-operasi sedia di negeri ini.

“Bagi tujuan tersebut, kita akan berkerjasama dengan kerajaan negeri serta semua pasukan keselamatan agar dapat mengekang perkara-perkara yang tidak diingini,” ujarnya kepada pemberita selepas kunjungan tersebut.

Suhaimi merupakan PAB ke-12 sejak ditubuhkan pada 2004.

-SH