Kerajaan Negeri Usaha Bantu Sekolah Daif Di Sabah

Laporan/foto: Mohammad Suhailee/Johnny George Kimlon (Kota Kinabalu)

KIMANIS, 9 Jul (Malaysiaaktif) - Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi terus berusaha untuk membantu sekolah-sekolah daif di Sabah.

Pembantu Menterinya, Jenifer Lasimbang berkata pihaknya dipertanggungjawabkan oleh Menterinya Datuk Dr. Yusof Yaakub, untuk mencari dana daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) luar serta badan korporat bagi membantu semua sekolah di negeri ini.

"Semasa menjawab soalan di Dewan Undangan Negeri berkenaan pembelajaran abad ke 21 baru-baru ini, saya dapati hanya 76 daripada 1200 makmal komputer di sekolah berfungsi, kita dapati banyak sekolah-sekolah daif kurang dari segi prasarana.

"Namun itulah tujuan kementerian ini, menggembleng tenaga bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bukan sahaja dari segi prasarana, tetapi pengisian agar sekolah kita bertaraf antarabangsa," katanya ketika berucap mengisytiharkan SMK Bongawan 2 sebagai sekolah angkat, baru-baru ini.

Jenifer turut tertarik dengan konsep sekolah amanah, Trust School yang diamalkan di SMK Bongawan 2 dan menyokong konsep demikian untuk diaplikasikan ke semua sekolah di negeri ini.

Jenifer (Tengah) melancarkan Doodle art bersama Dr, Daud (Kiri hujung), Ghulam Rasul (dua kiri) dan Masniah (Kanan). Jenifer (Tengah) melancarkan Doodle art bersama Dr, Daud (Kiri hujung), Ghulam Rasul (dua kiri) dan Masniah (Kanan).



Trust School atau sekolah amanah adalah sekolah awam yang diurus secara bersama di antara pihak swasta dengan pemimpin sekolah kerajaan, di bawah kawal selia Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekolah Amanah akan diberi lebih kebebasan dalam membuat keputusan, antaranya dari segi pembangunan prasarana dan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

"Sebagai 'ibu' kepada sekolah ini, saya ingin menyebarkan konsep ini kepada semua sekolah dan saya yakin ramai pemberi dana akan mencari sekolah-sekolah lain selepas ini.

"Namun yang paling penting kepimpinan pengetua itu sendiri bagaimana mempergunakan sepenuhnya peluang sebagai Trust School," katanya yang juga ADUN Moyog.

Sementara itu Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr. Daud Yusof turut menyokong bahawa kerajaan Negeri mewujudkan kementerian tersebut bukan bertujuan mengambil alih portfolio pendidikan di persekutuan, tetapi untuk membantu memenuhi keperluan sekolah di Sabah.

Jenifer (Depan tengah) menanam bibit Pokok Musang King, disaksikan Dr. Daud (Belakang Tengah), Ghulam Rasul (Kiri) dan Masniah (Kanan). Jenifer (Depan tengah) menanam bibit Pokok Musang King, disaksikan Dr. Daud (Belakang Tengah), Ghulam Rasul (Kiri) dan Masniah (Kanan).



"Kita juga mempunyai jawatan kuasa yang boleh membawa suara sekolah-sekolah ini di Parlimen, kita gunakan politik, namun apa yang penting ialah kerjasama semua pihak.

"Apabila kita menyusun Yayasan Sabah, fungsinya untuk membantu anak-anak, kita akan kembalikan agar mereka mampu melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negeri, maka itu, kita akan mengkaji semula syarat biasiswa untuk semua,"katanya. .

Selain Pengisytiharan Sekolah Angkat, SMK Bongawan 2 turut menganjur Gotong Royong Perdana, Penanaman Musang King antara stakeholder, pelancaran doodle art di dewan sekolah, pameran agensi kerajaan serta cabutan pengunjung bertuah.

Lebih 300 peserta menyertai gotong royong berkenaan yang terdiri daripada agensi kerajaan, NGO, RELA, Bomba serta para ibubapa dan pelajar sekolah terbabit.

Turut hadir, Pengarah Perancangan Bandar dan Wilayah, TPr. Mursidi Sapie; Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Sabah, Zainin Yanin; Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Yunus Saprin; Pegawai Daerah Papar, Ghulam Rasul dan Pengetua SMK Bongawan 2, Datin Masniah Tarah.

-SH