Jabatan Kerajaan Diseru Beri Komitmen Capai Perkhidmatan Data Terbuka

Laporan/foto: Eviannie Kin/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)


KOTA KINABALU, 9 Jul (Malaysiaaktif) - Semua agensi dan jabatan kerajaan diseru agar terus memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan agenda reformasi perkhidmatan kerajaan berpacukan data terbuka dapat dicapai.


Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, berkata selaras dengan agenda pendigitalan perkhidmatan awam, penjawat awam perlu mempelajari tentang kepentingan dan bersedia berkongsi data-data berkaitan agensi masing-masing agar dapat di manfaatkan untuk kepentingan rakyat khususnya di negeri ini.


"Hal ini kerana data terbuka bakal mencipta nilai sosial dan ekonomi di Malaysia dengan pelbagai cara.


"Melalui data terbuka, ia dapat mengurangkan kos penyediaan perkhidmatan oleh kerajaan dan swasta yang sedia ada.




Yusof semasa menyampaikan ucapan. Yusof semasa menyampaikan ucapan.


"Selain itu, ia membolehkan perkhidmatan baharu serta berkualiti diberikan kepada masyarakat seterusnya menyumbang kepada penambahbaikan tadbir urus dalam perkhidmatan kerajaan melalui peningkatan akauntabiliti serta penglibatan warganegara.


"Kedua-duanya melahirkan kepercayaan yang lebih besar terhadap kerajaan," katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Penutup Sabah Data Fest 2019 di Wisma Bandaraya, di sini hari ini.


Dalam majlis sama, Yusof menyempurnakan penyampaian anugerah yang terbahagi kepada empat kategori iaitu Anugerah Data Terbuka yang dimenangi oleh Ko-Nelayan diikuti Lembaga Industri Getah Sabah menerima Anugerah Data Berkualiti dan Anugerah Data Variety dimenangi Jabatan Kereta Api Sabah manakala Anugerah Khas pula diberi kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah.


Program tersebut merupakan anjuran Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Sabah, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) Sabah dan Kinabalu Coders yang berlangsung selama dua hari.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mingu Jumaan; Pengarah MAMPU Sabah, Datuk Mohd. Suhaili Mohd Taufek dan Pengarah JPKN Sabah, Ernywati Dewi Abas.


-SH