Gagasan Kemakmuran Bersama Pembangunan lebih Mampan

Laporan /foto : Saufi Ab Ghani (Kelantan)

KOTA BHARU, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Kemakmuran Negara dikongsi bersama menjadi pemangkin kepada hala tuju pembangunan lebih mampan Kerajaan Persekutuan untuk terus membangunkan dan memajukan Negeri Kelantan agar tidak terpinggir dari segi kemajuan pembangunan berbanding negeri-negeri maju yang lain.

“Kelantan adalah salah satu negeri yang diberi keutamaan bersama lima negeri lain yang masih terkebelakang dari segi pembangunan ini selaras dengan Gagasan Kemakmuran Bersama.”

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohd Azmin Ali berkata demikian semasa sidang media di Kota Darul Naim tengah hari ini selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Kanan Datuk Ahmad Yakob.

Mesyuarat MTNg Bil.2/2019 ini telah berjaya membentang empat kertas penting untuk meneruskan pembangunan secara mampan di Negeri Kelantan.

Antaranya ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu yang dilihat sangat penting untuk mengawal aras air bagi menghadapi banjir.

Kemajuan projek ini telah menjangkau 19 peratus kerja dan melibatkan kos keseluruhan sejumlah hampir RM5 juta.

Sebahagian Ahli Mesyuarat merangkumi Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri serta Ketua-Ketua Jajahan seluruh Kelantan Sebahagian Ahli Mesyuarat merangkumi Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri serta Ketua-Ketua Jajahan seluruh Kelantan



“Cadangan Empangan Lebir bakal melibatkan kos sebanyak RM3.5 bilion dan projek Hidro Sungai Nenggiri untuk mengurus sumber air bersih sebagai bekalan minuman serta janakuasa. Projek Hulu Kelantan ini melibatkan kos RM60 bilion,” kata Mohd Azmin Ali.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Kelantan kerana telah menarik balik saman royalti minyak dan ini sebagaimana yang diingini oleh Tun Dr Mahathir bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dalam hubungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Apa yang termaktub berkaitan royalti terhadap negeri ini dapat dilaksanakan setelah semua proses diselesaikan,” tambah Azmin.

Dalam lawatan kerja sehari ke Negeri Kelantan yang tentunya membawa harapan baru kepada keselesaan dan pembangunan pesat di Kelantan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut melawat tapak Projek Lembangan Sungai Bersepadu(PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1, Projek Skim Air Merbau Chodong Fasa II dan dijangka akan mengadakan mesyuarat tertutup bersama Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

-NAZ