Laut China Selatan Khazanah Rezeki Nelayan Pantai Changgung, Bachok

Laporan/foto: Mohamad Roslan (Bachok)

BACHOK, 10 Jul (MalaysiaAktif) - Ketam, udang, ikan kembung, bawal, pelalin, kerisi, tuker dan lain- lain merupakan hidupan laut yang menjadi hasil tangkapan nelayan Bachok di sekitar Perupok, Kubang Golok, Kubang Kawah, Ketapang, Pantai Daramain, Pulau Berangan, Changgung, dan Pantai Melawi.

Tradisi 'ke laut' atau terlibat dalam aktiviti penangkapan hasil laut telah bertapak di pesisir pantai Bachok bermula sekitar awal tahun 1950-an lagi.

Malaysiaktif telah meninjau ke perkampungan nelayan Pantai Changgung, Bachok bagi menyelami kehidupan komuniti di sini yang masih meneruskan tradisi dan legasi 'ke laut'.

Nelayan pantai Changgung mula turun ke laut saban hari seawal pukul 6.30 pagi atau selepas Subuh dan meredah gelora mencari rezeki sekitar 40 hingga 60 batu nautika.

Hasil tangkapan adalah bergantung kepada rezeki atau nasib mereka serta cuaca namun mereka berpandukan kepada beberapa petua seperti, tiupan angin, gelombang atau gelora laut serta awan.

Menurut Roji Mohd Noor, 43, yang telah menjadi nelayan lebih dari 15 tahun, berkata pendapatan beliau sepenuhnya bergantung kepada hasil tangkapan harian.

"Rezeki dari titik peluh harian itulah sumber menyara kehidupan sekeluarga dan menanggung persekolahan anak-anaknya," ujar Roji.

Pantai Changgung adalah perkampungan nelayan yang kecil dan terdapat 20 bot sahaja berbanding dengan perkampungan nelayan sisir pantai lain di Bachok ini.

Manakala Mat Din Hussin, 58, yang juga berpengalaman lebih 15 tahun sebagai nelayan berkata hasil tangkapan harian dijual sebaik sahaja mendarat.

"Hasil tangkapan dijual ketika masih segar dan kami tak perlu sejuk beku kerana ianya pasti habis terjual berikutan harga yang lebih murah berbanding harga peraih dan runcit," ujar bapa kepada 7 anak ini.

Ikan segar terjual sebaik sahaja mendaratkan bot Ikan segar terjual sebaik sahaja mendaratkan bot



Pemilik kedai makan pantai Changhung, Mohd Zawal Abd Rashid, 30, berkata beliau mendapatkan bekalan hasil laut daripada nelayan tempatan kerana ianya segar dan murah berbanding di pasar.

Tinjauan dan pemerhatian Malaysiaaktif di sini mendapati, nelayan di pantai Changgung menjalani kehidupan yang sederhana dan selesa dengan acuan persekitaran mereka khususnya dalam memupuk semangat kerja gotong-royong.

Namun keselesaan ini wajar ditambah baik melalui bantuan lain seperti infrastuktur dan logistik yang lebih baik sebagai potensi pelancongan domestik atau pusat pemasaran hasil laut tempatan.

- NAZ