Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob Lawat Pusat Pemindahan Banjir Durian Tunggal

Laporan/foto: Khairul Annuar bin Zulkernain (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 10 Jul (Malaysiaaktif) - Mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Banjir teruja apabila Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob turun padang melawat Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, di sini, Isnin lalu.


Menurut mangsa banjir, Junaidah Husin, dirinya teruja dan gembira dengan kedatangan Yang Dipertua Negeri Melaka ke Pusat Pemindahan berkenaan.




Penyampaian bantuan disempurnakan oleh Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob. Penyampaian bantuan disempurnakan oleh Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.


“Kedatangan Tuan Yang Terutama Tun ke sini menceriakan kami dalam menghadapi musibah yang melanda, kami amat berterima kasih atas keperihatinan Tun dan Kerajaan Melaka dalam membantu kami dan diharapkan agar punca masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.


Seorang lagi mangsa banjir yang ditemui, Abdullah Jaafar berkata masalah banjir yang dihadapi mereka di Kampung Belimbing Dalam adalah perkara yang kerap kali berlaku dan berharap agar masalah berkenaan dapat di atasi segera oleh pihak berkaitan.


“Kawasan ini berhampiran dengan empangan dan kawasan tadahan air, jadi apabila hujan lebih saja dua jam, akan berlaku banjir. Oleh itu saya berharap agar kerajaan dapat membantu memindahkan penduduk di kawasan rendah ke penempatan baharu di kawasan yang lebih tingg,” ujar beliau.


Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hasim Hasan.


Banjir di Kampung Belimbing Dalam telah masuk hari kedua menyebabkan 343 orang daripada 87 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di SK Belimbing Dalam.


Seramai 114 anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir, antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Penerangan Malaysia.


-KN