Info On Wheel Kembalikan Nostalgia Jabatan Penerangan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menghidupkan semula peranan hebahan unit bergerak dalam menyampaikan maklumat secara langsung kepada semua lapisan masyarakat melalui pelaksanaan Info On Wheel.

Bagi Jabatan Penerangan yang telah wujud lebih 10 dekad, ini ibarat mengimbau kembali peranan jabatan yang suatu ketika dahulu terkenal dengan hebahan bergerak dan wayang pacak di kampung-kampung malah di estet-estet sejak zaman sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu lagi.

Menurut Pengarah Penerangan WPKL, Erwin Khairul Ahmad, projek perintis hebahan Info On Wheel ini selaras dengan peranan utama JaPen sebagai perantara kerajaan dan rakyat dalam mendukung falsafah, aspirasi dan matlamat negara.

"Melalui penyampaian bersemuka, rakyat dapat merasai keikhlasan dan ketulusan kerajaan melalui pelaksanaan pelbagai dasar serta inisiatif-inisiatif yang mengetengahkan kemakmuran bersama.

“Ledakan teknologi menyebabkan lambakan maklumat yang sukar dikenalpasti kesahihannya, dan ini menyebabkan masyarakat sering dikaburi dengan propaganda palsu yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami, warga Penerangan bertindak sebagai mata, telinga, mulut dan lidah kerajaan dalam menperjelaskan perkara yang sebenarnya kepada masyarakat dan seterusnya mengubah persepsi orang ramai terhadap tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan," jelas Erwin ketika ditemui pemberita.

Usaha JaPenWPKL membuat hebahan penyampaian maklumat terus di peringkat akar umbi ini membuktikan komunikasi secara bersemuka masih relevan dan lebih berkesan daripada maklumat-maklumat diperoleh dari alam maya.

Tempat tumpuan orang ramai seperti pasar pagi, medan selera, kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) antara tempat yang dipilih untuk pelaksanaan hebahan Info On Wheel yang akan diadakan tiga kali seminggu sekitar Kuala Lumpur.

-SH