Pengungsian Bangunan Wajar Diteruskan

Laporan/foto: Mohd Alihanafiah Mohd Khairy/Hanizatul Azwa Mat Lazim (Teluk Intan)

TELUK INTAN, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Warga kerja dan pengunjung Bangunan Persekutuan Teluk Intan (BPTI) di Jalan Speedy cemas apabila loceng kecemasan bangunan dibunyikan dan mereka diarahkan keluar dari premis dan berkumpul di Padang Speedy yang terletak di hadapan bangunan dua blok tersebut yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan di sini.

Namun situasi tersebut hanyalah suasana semasa latihan pengungsian bangunan yang dijalankan oleh pihak Bomba Teluk Intan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bangunan pagi ini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Mohd Azroisan Wahab, latihan ini perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setahun di semua bangunan kerajaan mahupun premis-premis komersial.

“Saya berpuas hati kerana masa yang diambil bagi mengosongkan bangunan kali ini lebih baik berbanding tahun lepas.

“Latihan ini bertujuan untuk mendedahkan warga kerja BPTI untuk sentiasa bersedia menghadapi kebakaran atau bencana yang melanda kawasan tempat kerja mereka,” katanya ketika ditemui selepas pengungsian berakhir.

Sebahagian warga kerja BPTI bergambar bersama pegawai dan anggota Bomba Teluk Intan. Sebahagian warga kerja BPTI bergambar bersama pegawai dan anggota Bomba Teluk Intan.



Menurut Azroisan lagi, pengungsian ini bertujuan melatih warga kerja serta pengunjung BPTI agar tidak panik serta mengikuti laluan dan prosedur yang telah ditetapkan ketika bergerak ke tempat berkumpul yang diwartakan.

“Para pekerja bangunan dinasihati supaya memastikan suis elektrik dimatikan dan hanya mengambil dokumen penting yang boleh dicapai sahaja ketika hendak meninggalkan pejabat semasa berlaku kebakaran,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan BPTI Nazri Ahmad, berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak bomba dan agensi keselamatan yang lain dalam merangka aktiviti-aktiviti yang boleh mendidik penjawat awam di sini tentang keselamatan di tempat kerja.

Nazri yang juga merupakan Penolong Pengarah Tenaga Kerja Daerah Hilir Perak turut menekankan agar latihan kecemasan seumpama ini sentiasa diambil serius oleh semua pihak agar objektif sebenarnya tercapai.

“Kami turut merancang untuk mengadakan program latihan bantuan kecemasan kepada warga BPTI dengan kerjasama agensi berkaitan pada masa akan datang,” ujarnya.

Sebanyak lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan telah digerakkan bagi tujuan latihan tersebut.

-SH