Dasar Keusahawanan Nasional Menjelang 2030

Laporan/foto: Azuraini Abd Majid/Saraspathy Letchumanan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, merupakan dasar pertama Malaysia yang digubal secara komprehensif, khususnya dalam bidang keusahawanan.

Tun Mahathir menjelaskan dasar ini merupakan dokumen strategi jangka panjang untuk menetapkan hala tuju keusahawanan negara dalam mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

“Saya berharap semua isu pertindihan dasar, tugas dan aktiviti pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan di beberapa kementerian dapat diselaras semula dengan adanya DKN 2030 ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Keusahawanan Negara 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Mohd. Redzuan Yusof, ekosistem keusahawanan yang mampu diperbaiki dan melalui proses penjajaran semula akan membuka ruang lebih besar kepada masyarakat termasuklah kumpulan B40 dan mereka yang berisiko terpinggir.

"Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) komited untuk menjadikan DKN 2030 milik dan hak rakyat sepenuhnya.

"DKN 2030 ini akan memberi tumpuan kepada enam teras strategik dan lima objektif dasar yang telah ditetapkan berpandukan kepada ekonomi global, pencapaian terkini keusahawanan serta isu dan cabaran semasa," katanya.

Teras strategik ini disokong oleh 19 strategi dan 62 inisiatif sebagai tunjang mekanisme pelaksanaan dasar dalam usaha mencapai matlamat DKN 2030.

Dokumen DKN 2030 boleh diakses dilaman sesawang MED, www.med.gov.my.

-SH