Peserta Daerah Kuantan Sasar Juara

Laporan/foto: Zayana Isa (Kuantan)

KUANTAN, 12 Jul (Malaysiaaktif) - Berdiri di pentas yang lebih besar buat julung kalinya tidak menjadikan ia sebagai satu halangan buat ketiga-tiga anak muda yang akan mewakili daerah Kuantan di Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Pahang 2019 pada Sabtu ini.


Bagi adik Nabil Azriq, 18, Muhd Shahrul Nabeel Yusof, 18 dan Al Amin Ashraff Zulkifli, 18, pertandingan Pengisahan Kenegaraan yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia ini sedikit sebanyak membuka ruang untuk mereka menimba ilmu dan pengalaman dalam seni persembahan.


“Pengalaman kami sewaktu menyertai pertandingan drama di sekolah dahulu menjadi sumber buat kami untuk memberikan persembahan yang terbaik Sabtu ini,” ujar Shahrul Nabeel yang menyertai persembahan teater seawal usia 11 tahun lagi.


Tambahnya lagi, minat yang mendalam terhadap dunia pementasan teater menjadi faktor utama bagi dirinya dan rakan-rakan menyertai pertandingan ini.


“Terima kasih kami ucapkan kepada Jabatan Penerangan kerana menganjurkan pertandingan seumpama ini kerana ia dapat meningkatkan lagi semangat patriotisme dalam diri terutamanya anak-anak muda seperti kami,” tambah Nabil.


“Kami sangat menghargai inisiatif yang dibuat oleh Jabatan Penerangan, lebih-lebih lagi apabila anak-anak muda seperti kami diberi peluang untuk menyertai pertandingan sebegini”.


Ujarnya lagi, mereka juga dapat menimba ilmu pengetahuan yang baru terutamanya mengenai tokoh-tokoh terkemuka yang pernah mengharumkan nama negara.


Menyedari penyertaan mereka ini adalah buat kali pertama, mereka meletakkan harapan tinggi untuk pulang sebagai juara sekaligus dapat mewakili negeri Pahang ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Perak pada bulan hadapan.


“Semestinya juara yang kami impikan, kerana kami akan membawa nama daerah Kuantan seterusnya Jabatan Penerangan Pahang di peringkat kebangsaan nanti,” kata Al-Amin.


Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Pahang 2019 akan berlangsung pada Sabtu ini di Berjaya Megamall, Kuantan. Pelbagai aktiviti menarik disediakan dan penampilan istimewa daripada Haqim Rusli akan turut menyerikan acara. Orang ramai dijemput hadir.


-KN