MyDigital Maker Champion School Platform Inovasi Pelajar

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 12 Jul (Malaysiakatif) - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih menjadi sekolah harian pertama di negeri ini oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk ditransformasikan sebagai MyDigital Maker Champion School.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Izmi Ismail, usaha yang dijalankan oleh guru serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini amat dihargai kerana mewujudkan sebuah bilik Digital Maker Hub Champion School yang berlandaskan kepada program komputer.

Billik digital maker hub ini mempunyai teknologi terkini yang diperlukan untuk pelajar dan pengajar dalam menghasilkan inovasi yang dapat dimanfaatkan masyarakat sekeliling.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail (tiga dari kiri) merasmikan MyDigital Maker Champion School. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail (tiga dari kiri) merasmikan MyDigital Maker Champion School.



"Sekolah ini akan membudayakan inovasi digital dalam kalangan pelajar melalui program #mydigitalmaker yang akan memberi tumpuan kepada Kemahiran Pembelajaran Abad ke-21 (PAK 21) dan melatih pelajar dalam penghasilan teknologi digital.

"Hari ini kita dapat lihat enam buah projek yang dihasilkan oleh para pelajar dengan cukup baik dan berharap agar pihak MDEC dapat memperluaskan lagi projek ini di beberapa buah lagi sekolah di sini bagi memberi peluang kepada lebih ramai lagi pelajar mempelajari bidang teknologi digital ini," katanya ketika ditemui sempena profram tersebut, di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Bakat Teknologi MDEC Fara Husna Tambi, berkata Champion School ini diwujudkan pada tahun 2017 untuk membudayakan teknologi inovasi dalam kalangan pelajar bagi mempersiapkan diri menempuh alam pekerjaan pada masa hadapan.

Para pelajar menunjukkan inovasi ciptaan yang mereka hasilkan. Para pelajar menunjukkan inovasi ciptaan yang mereka hasilkan.



"Ia cuma bermula dengan dua buah sekolah sahaja dan hasil keberkesanan projek tersebut kerajaan menambah lagi kepada 22 buah sekolah pada tahun lepas.

"Kami membuka percalonan kepada semua sekolah dan mendapat lebih dari 100 percalonan dan tahniah kepada SMK Kuala Perlis kerana dipilih sebagai satu-satunya MyDigital Maker Champion School di negeri ini," katanya lagi.

Bagi Halania Adila Ismadi, 13, beliau sangat teruja kerana dapat menghasilkan projek "Lorry Blind Spot Detection" bersama-sama rakan di dalam kelas ini.

"Inovasi ini memberi peringatan terus ke telefon pemandu kenderaan berat terutamanya lori apabila kenderaan kecil seperti kereta atau motosikal berada di sisi mereka bagi mengelakkan kemalangan dan berharap ia memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya," ujarnya.

-SH