Puisidra Perjuangan Tentang Penjajah Sambut Konvoi KMJG19

Laporan/Foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Puisidra pelajar  SMK Seksyen 5 Wangsa Maju berjaya menyorot kembali detik-detik penjajahan dahulu pada Majlis Sambutan Konvoi Kembara Jalur Gemilang 2019 (KMJG19) & [email protected] hari ini.

Puisidra rentetan sejarah yang diterjemahkan oleh 22 pelajar ini membawa kembali nostalgia detik-detik keperitan dan pertumbahan darah yang telah diharungi dalam menentang penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu zaman dahulu.

SMK Seksyen 5 Wangsa Maju menjadi lokasi perhentian pertama Konvoi KMJG19 di ibu kota pada tahun ini dan berjaya menyemarakkan lagi semangat patriotisme dikalangan pelajar sekolah ini.

Majlis sambutan pada kali ini turut menjadi platform bagi generasi muda untuk memahami, menghayati dan mendukung sejarah kemerdekaan negara.

Puisidra yang membangkitkan semangat anak bangsa dengan iringan persembahan silat dan puisi-puisi merdeka pada majlis kali ini membawa para pelajar lebih dekat kepada semangat kemerdekaan serta mengerti bahawa keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi hari ini tidak datang dengan mudah.

Puisidra SMK Seksyen 5 Wangsa Maju membawa kembali nostalgia detik-detik penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu Puisidra SMK Seksyen 5 Wangsa Maju membawa kembali nostalgia detik-detik penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu



"Semangat cinta akan negara perlu diterapkan dan disematkan di dalam jiwa setiap anak Malaysia sejak awal lagi," ujar Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap menyambut ketibaan konvoi KMJG19 di Parlimen Setiawangsa, hari ini.

Nik Nazmi menegaskan bahawa sekolah merupakan institusi penting dalam menyemai nilai-nilai patriotisme dikalangan generasi muda kerana mereka ini mudah dilentur.

Tambah beliau lagi, program sebegini bukan hanya sekadar membangkitkan semangat patriotisme tetapi ia juga membantu meningkatkan hubungan dan ikatan antara pelajar pelbagai kaum.

"Perpaduan perlu dipupuk selari dengan kepelbagaian kaum serta sikap saling hormat-menghormati," tegas Nik Nazmi yang menyampaikan hasrat utama Kerajaan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk terus mengekalkan keharmonian serta mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara daripada ancaman anasir-anasir jahat.

Konvoi KMJG19 melibatkan 133 peserta ini akan meneruskan kembali misinya menyemarakkan lagi semangat kebangsaan di kesemua 62 perhentian di seluruh Malaysia sehinggalah tarikh keramatnya, 31 Ogos 2019 di Putrajaya.

-AO-