Kerjasama Huawei-UMS Lahir Graduan ICT Berkualiti

Laporan/foto: Hamidah Len/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 9 Ogos (Malaysiaaktif) - Bidalan dahulu kala ada menyebut ‘Pengayuh sayang dibasahkan, Sampan tidak akan sampai ke seberang’ bermaksud cita-cita tidak akan tercapai jika malas berusaha.

Pertandingan Huawei ICT Southern Pacific Regional(ihsan Dr. Tan Soo Fun) Pertandingan Huawei ICT Southern Pacific Regional (ihsan Dr. Tan Soo Fun)



Kejayaan ekonomi sesebuah negara di masa akan datang pastinya banyak dipengaruhi oleh keupayaan untuk berkembang maju dalam bidang sains dan teknologi apatah lagi dengan kemunculan Revolusi Industri 4.0.

Seiring itu, pelaburan modal insan melalui pendekatan proaktif berupaya memastikan perniagaan dan pekerja tidak kehilangan potensi ekonomi dalam era digital.

Anugerah Outstanding Achievement Award UMS daripada Huawei Anugerah Outstanding Achievement Award UMS daripada Huawei



Mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang sains dan teknologi daripada institusi pendidikan yang diiktiraf adalah amat penting agar kemahiran yang diperoleh menepati piawaian industri serta dapat diaplikasikan.

Justeru, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Huawei kini menawarkan persijilan Profesional Huawei Certified ICT Associate (HCIA) yang ditawarkan secara percuma kepada siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah.

Tan Mei Jun (UMS) menerima sijil Top 10 of MOE - Huawei Malaysia Seeds for the Future 2019. (ihsan Dr. Tan Soo Fun) Tan Mei Jun (UMS) menerima sijil Top 10 of MOE - Huawei Malaysia Seeds for the Future 2019. (ihsan Dr. Tan Soo Fun)



Persijilan ini bukan hanya dapat memberi nilai tambah kepada graduan, tetapi juga memberikan pendidikan kontemporari kepada generasi semasa untuk tujuan pembangunan bakat ICT dan persediaan alam pekerjaan.

Menurut Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Informatiks UMS, Profesor Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim, bagi menjaga kualiti persijilan, sesi pengajaran hanya dijalankan oleh pensyarah yang diiktiraf dan telah lulus tapisan serta piawaian Huawei.

Semasa sesi temuramah bersama media Semasa sesi temuramah bersama media



“Program ini memerlukan peserta mempunyai pengetahuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) manakala peperiksaan bagi tujuan memperoleh sijil kepakaran Huawei dibuat oleh pihak Huawei sendiri.

“Sehingga Julai 2019, seramai 117 pelajar UMS telah berjaya lulus dan ada diantaranya kini bekerja dengan Huawei,” ujarnya yang sebelum ini memegang jawatan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik.

UMS mendapat naib johan Pertandingan ICT Huawei peringkat (ihsan Dr. Tan Soo Fun) UMS mendapat naib johan Pertandingan ICT Huawei peringkat (ihsan Dr. Tan Soo Fun)



UMS ialah universiti pertama di Malaysia yang mempunyai tutor dan pelajar berkelulusan Huawei Certified ICT Professional (HCIP), dan untuk mendapatkan HCIP perlu lulus persijilan HCIA dan menduduki tiga peperiksaan Huawei.

Kesinambungan daripada kerjasama industri dan universiti tersebut, UMS telah berjaya membangunkan bakat ICT dan kemahiran praktikal pelajar apabila berjaya mewakili Malaysia ke peringkat akhir Pertandingan Huawei-ICT Serantau Asia Pasifik.

Para peserta Huawei Seeds For The Future 2019.(ihsan Huawei Seeds For Malaysia) Para peserta Huawei Seeds For The Future 2019.(ihsan Huawei Seeds For Malaysia)



Tutor pasukan UMS, Dr Tan Soo Fun memaklumkan pertandingan peringkat kebangsaan telah berlangsung pada 22 Januari 2019 di Kuala Lumpur menyaksikan pasukan UMS meraih tempat kedua sekali gus layak mewakili Malaysia ke Peringkat Akhir Serantau Asia Pasifik.

“Tiga pelajar yang mewakili Universiti Malaysia Sabah adalah Liew Chun Khai, Lynett Lim Weng Khey dan Tan Yee Leng daripada Fakulti Kejuruteraan dan Informatik (FKI).

Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Informatiks UMS, Profesor Madya Dr. Ag.Asri Ag. Ibrahim Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Informatiks UMS, Profesor Madya Dr. Ag.Asri Ag. Ibrahim



“Pasukan ini kemudiannya berentap di Peringkat Akhir Serantau Asia Pasifik bersaing bersama-sama pasukan Singapura, Australia, Indonesia, Filipina dan New Zealand yang berlangsung di Hotel Pullman Kuala Lumpur.

“Semasa pertandingan, tutor hanya diberikan masa 10 minit untuk berbincang dengan pelajar dan selepas tempoh tersebut, mereka dikehendaki mencari penyelesaian kepada permasalahan ,” jelas beliau.

Dr. Tan Soo Fun memberi tunjuk ajar Dr. Tan Soo Fun memberi tunjuk ajar



Komited untuk mencari bakat ICT dalam kalangan belia, Huawei juga menganjurkan Program Seeds For The Future, suatu program tanggungjawab sosial (CSR) Huawei yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa.

Program ‘Seeds For The Future’ yang bermula pada tahun 2008 mempunyai objektif untuk mencari bakat-bakat tempatan dalam bidang ICT, pemindahan kemahiran, meningkatkan minat dan pemahaman dalam sektor telekomunikasi.

Peralatan HAINA Lab hasil sumbangan Huawei Peralatan HAINA Lab hasil sumbangan Huawei



“Bermula tahun 2017 sehingga 2019, pelajar UMS berjaya menduduki Top 10 peringkat kebangsaan dan menyertai lawatan sambil belajar selama dua minggu ke Beijing dan ibu pejabat Huawei di Shenzhen, China.

“Peserta diberi pendedahan kepada pelbagai inovasi digital seperti pengkomputeran awam, aplikasi industri merangkumi bandar raya pintar, Internet of Things, teknologi 5G dan menyertai aktiviti kebudayaan termasuk mempelajari bahasa Mandarin serta kaligrafi,” jelasnya lanjut.

Dr. Tan bersama 3 pelajar UMS yang menyertai Pertandingan ICT (ihsan Dr. Tan Soo Fun) Dr. Tan bersama 3 pelajar UMS yang menyertai Pertandingan ICT (ihsan Dr. Tan Soo Fun)



Sementara itu, UMS juga telah menerima anugerah HAINA Outstanding Achievement Award pada 22 Januari lepas.

Huawei yang ditubuhkan pada 1987 merupakan penyedia global prasarana ICT seperti rangkaian telekomunikasi, teknologi maklumat, peranti pintar dan kini merupakan peneraju perkhidmatan 5G di peringkat antarabangsa.

Pelajar-pelajar Malaysia bersama Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik (ihsan Huawei Seeds For Malaysia) Pelajar-pelajar Malaysia bersama Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik (ihsan Huawei Seeds For Malaysia)



Berkongsi pengalaman ketika berada di Shenzhen, Dr.Tan Soo Fun berkata walaupun sekadar membeli buah-buahan di gerai, masyarakat di China hampir sepenuhnya mengamalkan pembayaran elektronik (e-payment) sekali gus mengurangkan kadar jenayah.

Kesimpulannya, negara sangat memerlukan tenaga kerja mahir agar Malaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi generasi kelima (5G) untuk melonjakkan ekonomi negara ke arah lebih kukuh dan mapan selain mencapai matlamat negara berada dalam kalangan 30 negara teratas dalam senarai Indeks Inovasi Global pada 2025.

ER