KMJG19: Bukan Sekadar Hulur Bendera

Laporan/foto: Syed Hisham Shah/Nizam Zanil (Putrajaya)

BENTONG, 9 Ogos (Malaysiaaktif) - Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 turut diserikan dengan penglibatan Aktivis Sayangi Malaysiaku yang bersama-sama menjayakan konvoi ini dengan hasrat melibatkan belia mencurahkan bakti secara sukarela.

Biarpun peranan mereka kelihatan kecil namun keberadaan aktivis ini amat penting terutamanya dalam membantu kelancaran program, malah ada yang bertugas hingga lewat malam semata-mata untuk memastikan keseluruhan kembara dalam keadaan sempurna.

Mohd Mahzuz Abdul Latif, 27, antara tujuh orang aktivis yang dipanggil untuk menyertai KMJG19 cukup teruja dapat bersama-sama warga Jabatan Penerangan dan peserta- peserta lain dalam melebarluaskan jaringan perhubungan.

"Saya cukup berbesar hati seandainya dipanggil menyertai program anjuran jabatan buat kesekian kalinya kerana kami semua cukup gembira bukan sekadar dapat menjelajah ke seluruh negara dalam program ini malah turut berkongsi semangat yang sama dalam menzahirkan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Aktivis menyantuni pelbagai lapisan masyarakat untuk membantu menerangkan dasar-dasar kerajaan. Aktivis menyantuni pelbagai lapisan masyarakat untuk membantu menerangkan dasar-dasar kerajaan.



"Platform yang disediakan ini cukup bermakna bagi kami sebagai pengisian jiwa dalam menyerlahkan rasa cinta kami kepada negara tercinta," ujar graduan akaun ini.

Menurut Mahzuz, antara kenangan yang terpahat sepanjang menyertai program ini adalah dapat menyantuni warga tempatan dalam menyebarkan dasar-dasar kerajaan.

"Bertemu dengan penduduk setempat di setiap hentian, menyerahkan Jalur Gemilang dan menerangkan tentang matlamat dan objektif program merupakan ruang untuk saya berkenalan dengan orang baharu dan ini cukup berharga bagi saya," ujar pemuda dari Batu Pahat ini lagi.

Sementara itu, bagi gadis manis dari Melaka Nor Sabrina Syahirah Lang Dohar, 22, pengalaman sebagai aktivis sempena KMJG19 ini memahat keindahannya tersendiri.

Sabrina (kiri) dan Mahzuz (kanan) cukup berbangga menjadi sebahagian daripada peserta Konvoi KMJG19 ini. Sabrina (kiri) dan Mahzuz (kanan) cukup berbangga menjadi sebahagian daripada peserta Konvoi KMJG19 ini.



"Biarpun sering menyertai aktiviti sukarela di kampus, penyertaan saya kali ini cukup bermakna kerana dapat menyelami erti patriotisme dengan lebih mendalam.

"Melihat peserta konvoi yang berusia tetapi masih mampu menyumbangkan keringat dan masa untuk menyemarakkan semangat cintakan negara melalui kibaran Jalur Gemilang ini menjadikan saya cukup tersentuh, dan membuatkan saya ingin menyumbang dengan lebih banyak," ujar penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini.

Sabrina turut berharap agar lebih ramai belia dapat menyertai aktiviti kesukarelawan ini kerana ia mampu membentuk jiwa yang cintakan negara tanpa mengharapkan sebarang balasan.

"Harapan saya supaya lebih ramai belia dapat menyertai program seumpama ini supaya mereka dapat tahu tentang usaha-usaha kerajaan mengelolakan program-program sempena kemerdekaan ini," katanya mengakhiri perbualan.

KMJG19 kini berhenti seketika sebelum kembali meneruskan kembara selepas cuti Perayaan Hari Raya Aidiladha pada 14 Ogos nanti.

-SH