Pembangunan Negara Mesti Berteraskan Amanah, Kecekapan dan Ketekunan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/ Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)


RANAU, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata Malaysia mesti dibangunkan dengan sifat amanah, kecekapan dan ketekunan agar menjadi sebuah negara yang disegani dan diteladani.


Menurut beliau, perkara paling utama ialah negara perlu bebas rasuah, bersih daripada segala penyelewengan, ketirisan dan penyalahgunaan segala kepentingan sumber negara.




Peter (kanan) ditemani Mohd Yassin (kiri) ketika menyampaikan ucapan. Peter (kanan) ditemani Mohd Yassin (kiri) ketika menyampaikan ucapan.


“Perlu diingat, jangan kita perjudikan masa depan tanah air ini, masa depan anak-anak kita dengan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti ini.


“Jika kita idamkan Malaysia yang bebas rasuah, rakyat dan pemimpinnya berintegriti, beramanah, kita sendiri harus memiliki dan memupuknya dalam diri sendiri.


“Kerana akhirnya, negara ini wujud dan maju disebabkan kita, sebagai rakyatnya yang secara kolektif tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan yang membentuk amalan, budaya serta tatakelola negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pada Jumaat.




Shafie menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Padang Daerah Ranau. Shafie menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Padang Daerah Ranau.


Seramai tiga ribu orang membanjiri Padang Pekan Ranau yang mana majlis tersebut turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Syed Abas Syed Ali; Timbalan Ketua Menteri Datuk Madius Tangau; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Hashim Paijan; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick dan Pegawai Daerah Ranau, Mohd Yassin Ibrahim. 


Peter yang juga Pengerusi Jawatan kuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri turut menjelaskan bahawa, bulan Ogos merupakan bulan untuk rakyat mengingati dan mengenang kembali perjalanan yang ditempuhi oleh pemimpin terdahulu.


“Marilah kita sama-sama hargai pengorbanan pemimpin, perajurit serta rakyat Malaysia yang sanggup berkorban apa sahaja demi melihat Malaysia ini tidak lagi dicengkam penjajah.


“Bersamalah kita, semua rakyat Sabah sama ada di pedalaman, bandar, mahupun yang berada di desa pergunungan, sama-samalah kita raikan hari ulang tahun tanah air tercinta kita dengan hati yang ikhlas.




Artis Pentarama Jabatan Penerangan Sabah mempromosikan logo rasmi dan tema hari kebangsaan 2019 serta slogan Malaysia tanpa rasuah kepada pengunjung yang hadir. Artis Pentarama Jabatan Penerangan Sabah mempromosikan logo rasmi dan tema hari kebangsaan 2019 serta slogan Malaysia tanpa rasuah kepada pengunjung yang hadir.


“Betapa bernilainya punyai negara yang merdeka dan bersamalah kita menginsafi hakikat bahawa mengisi, menjaga dan memakmurkan sebuah kemerdekaan itu lebih susah dan perit dari berjuang untuk kemerdekaan itu sendiri.


“Yang paling utama, ia adalah bulan di mana kita membuktikan tahap kecintaan kita terhadap tanah air,” ujarnya lagi.


ER