Malam Budaya Orang Asal Peringkat Negeri Sabah Disambut Meriah

Laporan/foto: Jeanne J Som/ Johnny George Kimlon (Kota Kinabalu)


PENAMPANG, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang dirayakan pada 9 Ogos setiap tahun dirai meriah dan harmoni di kalangan etnik yang terdapat di Sabah. 




Jannie (tengah) bergambar kenangan bersama pemenang pengunjung bertuah Rita (dua kiri), Monih (kiri) dan Wences (dua kanan). Jannie (tengah) bergambar kenangan bersama pemenang pengunjung bertuah Rita (dua kiri), Monih (kiri) dan Wences (dua kanan).


Pembantu Menteri kepada Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri (KUHEAN), Jannie Lasimbang berkata, penganjuran Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Sabah ini adalah untuk menerapkan semangat menghormati dan menghayati realiti kehidupan dan hak asasi Orang Asal dari segi sejarah, keusahawanan, sosial ekonomi, politik, pengetahuan tradisi, kebudayaan, adat istiadat, kerohanian dan sebagainya. 


"Sambutan ini dirayakan selama dua hari menunjukkan komitmen kerajaan membela nasib Orang Asal di Sabah dan mengiktiraf keperluan dan aspirasi masyarakat anak negeri, sejajar dengan komitmen kerajaan Malaysia terhadap Deklarasi Hak Orang Asal. 




Ahli dari Persatuan Dusun Liwan Sabah mempersembahkan dengan bermain alat musik tradisi yang dipanggil "Bungkau". Ahli dari Persatuan Dusun Liwan Sabah mempersembahkan dengan bermain alat musik tradisi yang dipanggil "Bungkau".


"Ini juga menunjukkan iltizam kerajaan dalam mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh komuniti anak negeri dalam pembangunan ekonomi dan sosial," katanya semasa merasmikan majlis Malam Budaya Orang Asal Sabah di Dewan Terbuka Koisaan Cultural Village, KDCA, Penampang pada Jumaat malam. 


Menurut Jannie, KUHEAN sedang dalam proses penyusunan semula dan pemantapan pentadbiran hal ehwal anak negeri, struktur Mahkamah Anak Negeri dan pengemaskinian Undang-Undang Anak Negeri yang memerlukan pindaan selaras dengan Deklarasi Hak Orang Asal. 




Persembahan dari Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah. Persembahan dari Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah.


Tambahnya, KUHEAN telah mengadakan beberapa program pendedahan dan latihan kepada Ketua Adat pada tahun ini untuk meningkatkan kecekapan mereka dalam menjalankan tugas-tugas di Mahkamah Anak Negeri. 


Sebanyak 15 kumpulan etnik mengadakan persembahan tarian terdiri daripada Pertubuhan Seni Budaya Etnik Sama Sabah (SENI SAMA), Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah (STCA), Persatuan Kebudayaan dan Warisan Rungus Sabah (SARUCHA), Persatuan Suang Lotud Sabah (LOTUD), Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA), Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah, Pertubuhan Pembangunan Suku Sandayo Sabah (PESAN), Persatuan Dumpas Sabah, Persatuan Etnik Dusun Gobukon Sabah (PEDGS), Persatuan Masyarakat Brunei Sabah, Persatuan Kebudayaan Dusun Liwan Sabah (PKDLS), Persatuan Etnik Sonsogon Sabah (PESOSA), Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) dan Kadazan Society Sabah (KSS).




Persembahan dari Persatuan Kebudayaan dan Warisan Rungus Sabah (SARUCHA). Persembahan dari Persatuan Kebudayaan dan Warisan Rungus Sabah (SARUCHA).


Hadir bersama Timbalan Setiausaha Tetap KUHEAN, Jasli Tindi, Pengerusi Pelaksana Sambutan Hari Orang Asal Sedunia, Dr Monih Epin dan Timbalan Pengerusi AJK Induk, Tan Sri Wences Anggang. 


ER