Ibadah Korban Eratkan Silaturrahim

Laporan/foto : Che Nor Ismail (Raub)

RAUB, 12 Ogos (Malaysiaaktif) - Hari Raya Haji atau juga dikenali sebagai Hari Raya Aidil Adha adalah hari yang dirayakan umat Islam setiap tahun pada tanggal 10 Zulhijjah. Perayaan hari tersebut memiliki kaitan erat dengan ibadah haji yang dilaksanakan di Mekkah dan ibadah korban yang dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.


Ibadah korban ini juga berkait rapat dengan sirah Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail yang amat taat dengan perintah Allah swt sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran yang menjadi panduan kepada seluruh umat Islam.


Pada tahun ini, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji yang juga Ahli Parlimen Raub telah menyumbangkan sebanyak lapan ekor lembu untuk ibadah korban.


Beliau menyumbangkan lembu tersebut ke setiap DUN dalam Parlimen Raub. Beliau berharap agar semua masyarakat sentiasa menjaga silaturahim dalam mengukuhkan ukhwah sesama Islam.


"Pada ketika ini bukan masanya kita bersengketa sesama sendiri atau kita masih berpolitik tanpa kefahaman melalui sumber maklumat yang tidak sahih. Ini akan menjejaskan corak pentadbiran negara serta boleh mencetuskan kekacauan dan akhirnya boleh menggugat keamanan negara,” ujar beliau.


-KN