Penduduk Desa Guru Korban 16 Ekor Lembu Sempena Aidiladha

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)


KUCHING, 12 Ogos  (Malaysiaaktif) -  Semangat komuniti yang tinggi merupakan pencetus inspirasi penduduk di Desa Guru di mana 16 ekor lembu sumbangan warga perumahan dikorbankan  sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.


Majoriti komuniti yang tinggal di Desa Guru terdiri daripada para pendidik sama ada yang bersara atau masih berkhidmat begitu aktif dalam aktiviti-aktiviti komuniti. Kebanyakan aktiviti melibatkan aktiviti sosial, kebajikan dan keagamaan di mana saban tahun aktiviti sambutan Hari Raya Aidil Adha disambut oleh komuniti ini.


Kesemua aktiviti tersebut dibuat secara bersama dengan penuh tanggungjawab, cermat, teliti dan ikhlas. Aktiviti  bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha ini diketuai oleh Hj. Razak selaku pengerusi Jawatankuasa Surau Desa Guru manakala  Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah adalah penasihat turut serta mengagih sumbangan kepada para penerima.




Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima


Penglibatan pelbagai golongan dalam aktiviti merupakan inspirasi kepada kerjasama dan mereka komited melaksanakan tanggungjawab yang dijalankan secara sukarela.


Bermula dengan proses menyembelih, melapah, memotong, menimbang, membungkus dan akhirnya mengagih.


Untuk yang bertugas juga disediakan jamuan secara ‘potluck’  iaitu  sedekah dari warga Desa Guru sendiri. Berbagai juadah dihidang bagi petugas-petugas yang melakukan kerja-kerja melapah sehingga ke pengagihan.


“Kami lakukan dengan ikhlas dan dibuat secara bersama serta bertanggunjawab. Komitmen dan keikhlasan inilah yang menjadi kunci kepada kejayaan segala aktiviti di Desa Guru ini.”


“Amalan dan budaya murni ini dilaksanakan setiap tahun dan insyallah akan diteruskan sampai bila-bila, ” ujar Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah selaku penasihat JK Surau Desa Ilmu.


Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh warga Desa Ilmu sama ada yang terlibat secara langsung di dalam aktiviti yang dijalankan.




Jawatankuasa Surau dan komuniti Desa ilmu bergambar beramai-ramai bersama Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah Jawatankuasa Surau dan komuniti Desa ilmu bergambar beramai-ramai bersama Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah


Hampir semua warga Desa Guru tidak mengira usia sama ada  lelaki mahupun perempuan terlibat di dalam aktiviti tersebut. Ia telah dilakukan sejak awal lagi bagi membolehkan kerja-kerja melapah dan mengagih dapat dilakukan sebelum tengahari.


Antara penerima  sumbangan dari JK Surau ini ialah Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Norkiah, Rumah Sri Kenangan Kuching,  Lanan Kasih, Baitur Rahmah, Rumah Kebajikan dan Pendidikan Nur Murni, Kanak-kanak miskin di beberapa sekolah di sekitar Kuching serta Samarahan.


Bagi komuniti di sini, mereka amat berpuas hati dan bersyukur kerana dapat memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan pada saban tahun lebih-lebih lagi pada sambutan Hari Raya Aidil Adha.


Aktiviti seperti ini juga dapat merapatkan silatulrahim dalam kalangan penduduk tidak mengira bangsa dan agama. Amalan murni  yang dibuat secara tahunan ini menjadi tunjang kepada keharmonian dan perpaduan komuniti.


Mereka berharap pada tahun-tahun akan datang banyak lagi lembu disumbang dan ditumbang bagi diagihkan kepada golongan yang memerlukan.