Ibadah Korban Terjemah Semangat Kekitaan

Laporan/Foto: Fauziah Abdullah (Seremban)

BANDAR ENSTEK, 13 Ogos (Malaysiaaktif) - Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban dilaksanakan dengan penuh kesederhanaan di seluruh Negara semalam.


Bagi penduduk di Taman Embun Timur di sini, ibadah korban dilihat sebagai platform terbaik bagi menyatukan komuniti yang masih baharu ini.


Menurut Pengerusi Suri Taman Embun, Sharifah Nabilatulhuda Syed Abdullah, aktiviti yang melibatkan semua ahli keluarga penduduk ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk di kejiranan tersebut.




WhatsApp Image 2019-08-12 at 11.37.12 Penduduk bekerjasama menumbangkan lembu korban


“Taman ini dibuka pada tahun 2012 dan mempunyai majoriti penduduk yang masih muda dalam lingkungan usia 40-an dan ke bawah, namun usia bukanlah penghalang bagi melaksanakan sesebuah program jika semangat kejiranan menjadi teras kepada komuniti penduduk.


“Jika dihayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah, ia memberikan contoh terbaik akan erti ketaatan dan kepatuhan, ia memberikan gambaran sebenar terhadap pengorbanan yang perlu dilakukan dalam melaksanakan tuntutan agama,” ujarnya ketika ditemui, semalam.




WhatsApp Image 2019-08-12 at 11.37.23 Ahli komuniti bergotong-royong memotong daging korban untuk diagihkan.


Menurut Sharifah, ibadah korban yang dilaksanakan ini bermula seawal 8.30 pagi dengan dua ekor lembu dikorbankan.


“Hasil daripada kesungguhan dan kerjasama yang tinggi, program ini dilaksanakan dengan lancar.


“Setiap ahli dalam sesebuah komuniti hendaklah memainkan peranan masing-masing bermula daripada peringkat perancangan sehinggalah kepada perlaksanaan. Tanpa kesepakatan yang jitu pastinya aktiviti yang dirancang tidak dapat direalisasikan,” katanya lagi.


-AK