Tangkap ikan dengan ‘Nyikep’ Elak Kepupusan

Laporan/foto: Luhat Ajang (Sarawak)


BARAM, 13 Ogos (Malaysiktif) - Ikan merupakan salah satu makanan utama dalam menu manusia. Kebergantungan kepada ikan menjadikan manusia dari hari ke sehari makin kreatif mencari dan mencipta pelbagai kaedah untuk menangkap ikan.


Lain padang lain belalang, demikian jugalah cara atau kaedah penangkapan ikan bagi sesuatu kaum atau komuniti di tempat yang berlainan.


Kekangan memperolehi peralatan mendorong masyarakat setempat mencipta kaedah sendiri untuk menangkap ikan sejak zaman dahulu lagi. Ianya masih dipraktikkan hingga kini dengan membuat sedikit penambahbaikan terutamanya bahan yang digunakan supaya tahan lama.


Bagi masyarakat etnik Kayan, Uma Beluvuh Kampung Long Panai, Tutoh dalam daerah Baram, pelbagai kaedah penangkapan ikan tradisional masih digunakan hingga kini. Kaedah yang digunakan ialah pukat, bubu, jala, pancing dan sebagainya.


Penduduk mahupun orang luar dilarang sama sekali menggunakan kaedah menuba (racun) dan kaedah lain yang boleh membunuh hinggalah ke anak – anak ikan dan spesis air lainnya. Larangan sebeginilah yang terus mengekalkan populasi ikan masih banyak di sini walaupun tidak dinafikan sedikit merosot berbanding zaman dahulu.




Peralatan Nyikep - Lawa'k, Bubu, Jala, Pukat Peralatan Nyikep - Lawa'k, Bubu, Jala, Pukat


Selain dari itu terdapat salah satu kaedah yang digunakan dan amat popular kerana melibatkan ramai orang iaitu digelar ‘Nyikep’ (Menangguk ikan) dalam dialek Kayan.


Aktiviti sebegini dilakukan secara beramai – ramai di musim kemarau yang berpanjangan di anak – anak sungai yang cetek dan dikenalpasti sebagai lubuk ikan. Terdapat banyak anak – anak sungai sepanjang Sungai Tutoh dan Sungai Apoh yang masih mempunyai banyak ikan.


Lawa’k (tangguk) ialah sejenis peralatan wajib dalam aktiviti Nyikep ini. Ianya diperbuat daripada rotan sebagai rangkanya dan jaring yang dianyam menggunakan tali. Saiznya bergantung kepada kehendak individu, semakin besar Lawa’k (Tangguk) makin besarlah peluang memperolehi hasil.




Luhong Ngau bersama hasil tangkapan Luhong Ngau bersama hasil tangkapan


Dengan menggunakan perahu penduduk kampung akan turut membawa bersama mereka jala, pukat, bubu dan makanan mereka. Sebaik sampai di lokasi yang dikehendaki, merekapun menahan bubu di sebelah hilir dan sebelah hulu sungai dengan jarak yang tertentu. Masing – masing akan memilih kedudukan terbaik memasang bubu dan pukat mereka dengan harapan memperoleh hasil yang banyak.


Setelah siap dipasang, merekapun mulai turun dan masuk ke dalam sungai dengan membawa lawa’k mereka. Mereka akan menggunakan lawa’k mereka menangguk ikan secara berkumpulan. Ikan yang cuba melarikan diri ke sebelah hulu mahupun hilir akan masuk ke dalam bubu yang telah ditahan tadi.


Suasana bertukar hiruk pikuk dengan pekikan dan jeritan apabila sekali sekala ikan melompat dan berjaya masuk ke dalam tangguk mereka. Bagi yang membawa jala, mereka akan turut menebar jala di celah – celah rakan mereka.


Jika bernasib baik mereka akan menghabiskan masa seharian di satu lokasi sahaja tanpa berpindah ke lokasi lain. Mereka akan memasak sedikit ikan yang diperolehi dan memakannya bersama bekalan nasi yang dibawa. Berbagai jenis dan saiz ikan diperolehi.




hasil tangkap di masak untuk dinikmati bersama hasil tangkap di masak untuk dinikmati bersama


Anthony Juk Ngau yang sering melakukan aktiviti ini bersama ahli keluarga akui walaupun letih tetapi tetap menyeronokkan lebih – lebih lagi apabila memperoleh hasil yang banyak. Juk juga berharap agar sungai dipelihara dan dijaga sebaik – baiknya.


“Di samping mencari rezeki, aktiviti ini juga salah satu senaman yang amat baik untuk kesihatan. Jika dibandingkan makan di dalam rumah dengan makan di dalam hutan yang dikelilingi hutan hijau, makan di dalam hutan adalah paling sedap. Kita hanya perlu membawa garam, serbuk perasa, cili dan limau sahaja untuk dimasak bersama ikan yang segar”, kata Juk yang menggelarkan masakan sedemikian sebagai Sup Terjun.


Sementara itu Luhong Ngau yang merupakan kakak kepada Juk memberitahu biasanya kaum wanita banyak menggunakan tangguk berbanding lelaki yang lebih gemar menggunakan jala dalam aktiviti ini.


Lelaki biasanya ditugaskan untuk menahan bubu, memasang pukat dan menjala kerana ia memerlukan tenaga yang lebih.


“Sambil menangguk ikan, kita perlulah berhati – hati kerana banyak ikan yang berduri dan boleh mencederakan kita terutamanya ikan baung dan ikan duri”, tegas Luhong yang sudah pandai membuat lawa’k sendiri hasil tunjuk ajar ibunya.


Menjelang petang, merekapun balik ke rumah panjang untuk memproses hasil tangkapan. Ikan yang diperoleh dalam kuantiti yang banyak sesetengahnya disalai mahupun dibuat pekasam memandang perkampungan ini belum mendapat bekalan elektrik dan hanya bergantung kepada jana kuasa elektrik persendirian sahaja.


Kallang Anyie Jok, seorang pemuda kampung berharap agar pemasangan tenaga Solar (SARES) yang sedang giat dilakukan di kampung supaya disiapkan secepat mungkin. Kallang juga ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang sediakan perkhidmatan tenaga solar ini.


“Apabila tenaga elektrik sudah ada nanti, kami penduduk kampung dapat memanfaatkannya sebaik mungkin terutamanya musim perayaan seperti Hari Natal dan kegunaan harian. Lebihan ikan yang kami perolehi juga boleh disimpan dalam peti sejuk dan tahan lama”, tambah Kallang.


Ternyata tradisi menangkap ikan yang diamalkan ini selain memberi limpahan rezeki, ianya juga dapat memupuk semangat kekeluargaan mahupun persaudaraan terutamanya di kalangan masyarakat kampung.