KMJG19: “Command 1 ke Command 2, Bersedia Jalankan Tugas”

Laporan/foto: Syed Hisham Shah/Nizam Zanil (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 kembali meneruskan kembara hari ini setelah berehat sempena cuti Hari Raya Aidiladha ke Negeri Terengganu merentasi Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu dengan jarak perjalanan sejauh 240 kilometer.

Sepanjang hampir sebulan konvoi berjalan, Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, cukup setia mengawal kelicinan perjalanan bagi memastikan kawalan lalu lintas berjalan lancar sehingga perjalanan yang jauh tidak terasa.

Biarpun cuaca tidak menentu, Pasukan Trafik KMJG19 komited pastikan perjalanan kembara berjalan lancar. Biarpun cuaca tidak menentu, Pasukan Trafik KMJG19 komited pastikan perjalanan kembara berjalan lancar.



Menurut Command 1 KMJG19 ASP Rudy Shahrizal Elham, KMJG19 merupakan penglibatan ketiga pasukannya dalam memastikan kembara berjalan dengan lancar dan aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan.

“Setiap tahun sejak 2017, tiada kelemahan yang kita jumpa dan sekiranya ada kita akan perbaiki. Contohnya pada tahun 2017 kita bawa sembilan orang, manakala tahun lepas 13 orang dan tahun ini saya bawa 19 orang termasuk saya untuk mengiringi peserta konvoi dan ini menunjukkan komitmen kami terhadap program ini,” katanya yang mengiringi peserta konvoi sepanjang kembara berlangsung.

ASP Rudy turut menerangkan bagaimana kawalan dilakukan ketika kembara sedang berlangsung dengan memastikan setiap simpang dikawal sepenuhnya.

Komitmen yang dizahirkan anggota trafik ini sewajarnya disanjung tinggi. Komitmen yang dizahirkan anggota trafik ini sewajarnya disanjung tinggi.



“Setiap simpang dan persimpangan lampu isyarat, mesti ada anggota. Kita akan letakkan rider kita untuk kawal lalu lintas sehinggalah tail (kenderaan terakhir) berlalu dan kita akan pastikan tiada seorang pun yang tertinggal dalam konvoi ini.

“Saya amat berharap kepada semua pengguna jalan raya dan peserta konvoi dapat memberikan kerjasama, patuh pada arahan yang diberi. Kita datang seramai 133 peserta, pastikan 133 peserta juga sampai ke Putrajaya tanpa sebarang insiden,” katanya lagi.

Pasukan trafik KMJG19 cukup komited dengan tugas mereka biarpun terpaksa menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu kerana kelancaran program dan keselamatan peserta merupakan keutamaan mereka. Terima kasih, tuan!

-SH