KMJG19: Sakit Sama Mengaduh, Luka Sama Menyiuk

Laporan/ foto: Khairun Nadiah/ Nurul Azreen (Putrajaya)


TELUK INTAN, 23 Ogos (Malaysiaaktif) - Ibarat kata pepatah, sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk. Inilah saatnya bagi kita semua bersatu dan teguh bersama dalam menumpahkan rasa taat setia dan meluahkan kecintaan buat negara Malaysia.


Demikian kata Pegawai Daerah Hilir Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, yang mewakili Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dalam ucapan perasmian program [email protected] Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Hilir Perak.




Meor Hezbullah ketika menyampaikan ucapan perasmian. Meor Hezbullah ketika menyampaikan ucapan perasmian.


Meor berucap di hadapan hadirin yang terdiri daripada masyarakat pelbagai lapisan umur.


"Kemerdekaan negara yang ke-62 tahun ini tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya kita tidak bijak dalam melakukan pengisian. Semua pihak yang terlibat haruslah mengambil pendekatan yang bersungguh-sungguh untuk menjamin sambutan Hari Kebangsaan tahun ini mampu meninggalkan kesan yang terbaik buat kita semua.


"Usaha Jabatan Penerangan Malaysia dalam menganjurkan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 (KMJG19) ini saya yakin akan dapat mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim antara jabatan kerajaan di daerah Hilir Perak dengan masyarakat setempat," ujar Meor.


Keterujaan warga Teluk Intan yang menyaksikan konvoi KMJG19 turut dikongsi oleh warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Selangor yang dipilih menjadi lokasi kedua konvoi hari yang ke-13.


"Melihat kehadiran konvoi KMJG19 ke sini semestinya menaikkan semangat sambutan Hari Kebangsaan tahun ini buat saya dan rakan-rakan," kata Nadierah Maisarrah Abd Halim, 16.


Nadierah juga harap agar konvoi ini akan diteruskan pada masa akan datang dan akan terus diberi peluang untuk meyambut kehadiran konvoi ini lagi.


"Kami di sekolah ini berasa bangga apabila dipilih sebagai antara lokasi hentian bagi konvoi ini. Kemeriahan yang kami rasakan ini dapat membantu menyemai semangat patriotisme dalam diri kami dengan lebih mendalam," kata Nadierah.


Laluan konvoi KMJG19 pada hari yang ke-13 ini bermula dari Lumut ke Teluk Intan kemudian ke Kuala Selangor dan akhirnya di Shah Alam yang meliputi jarak sejauh 293km.


Konvoi ini akan meneruskan perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.




Acara pelepasan konvoi di Dataran Menara Condong, Teluk Intan. Acara pelepasan konvoi di Dataran Menara Condong, Teluk Intan.


-KN