Kem Aspirasi Bentuk Sahsiah Positif Generasi Harapan Negara

Laporan/foto: Mahdini Jaini / Chua Shim Choon (Sarawak)


KUCHING, 9 Sept (Malaysiaaktif) –  Keterlibatan golongan pelajar dalam aktiviti luar kelas seperti kem motivasi dan program pembinaan sahsiah positif mampu mendedahkan mereka kepada pembangunan modal insan yang cemerlang mencakupi aspek rohani dan jasmani sesuai dengan peranan mereka sebagai generasi harapan negara.


Selaras dengan objektif Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) untuk menyediakan medium saluran komunikasi yang membentuk minda pelajar melalui pengisian program berbentuk ceramah kenegaraan dan gerak kerja latihan dalam kumpulan, Kem Aspirasi Pelajar Kelab Malaysiaku merupakan suatu bentuk kem motivasi remaja yang diadakan bagi membentuk golongan anak muda yang berpotensi tinggi dan memiliki nilai murni dalam kehidupan.


Bertempat di Kem Eko Sumiran, Batu Kawa, kem anjuran JaPen Sarawak ini telah berlangsung dengan jayanya selama 3 hari dua malam usai majlis penutupan dan penyampaian sijil program yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui, semalam.




Violet Yong menyamapikan sijil penyertaan kepada Cikgu Siti mewakili para pelajar SMK Matang Jaya, Kuching Violet Yong (tengah)  diiringi Abang Sardon (kiri) ketika menyamapikan sijil penyertaan kepada Cikgu Siti mewakili para pelajar SMK Matang Jaya, Kuching


Lebih 50 orang pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 6 daripada enam buah sekolah sekitar Kuching telah mengikuti kem dengan perasaan teruja dan gembira. Rata- ratanya berasa syukur kerana telah terpilih untuk mewakili sekolah masing-masing menerusi Kelab Malaysiaku ke program Kem Aspirasi Pelajar pada  tahun ini.


Menurut Terry Henry,16, pelajar SMK Sadong Jaya, Samarahan yang pertama kali menyertai kem seumpama ini, beliau menyatakan perasaan terharunya kerana dapat mengenali rakan-rakan baru dari sekolah berlainan dan memperoleh pengalaman baru menerusi aktiviti sepanjang kem berlangsung.


“Aktiviti unik yang saya ikuti adalah acara Campfire (Unggun Api) yang mana ianya memberikan memori menarik buat saya kerana semasa sesi unggun api tersebut, kami diminta untuk meluah perasaan dan pandangan sebagai anak muda. Walaupun terasa bahang panas unggun api tersebut, saya dan rakan-rakan berasa bersemangat untuk menyampaikan luahan rasa dan pandangan kerana para fasilitator memberi respon membina terhadap luahan kami. Hasilnya saya berasa lebih bermotivasi selepas mengikuti keseluruhan sesi bersama fasilitator dan rakan-rakan lain”, tambah beliau.


Bagi Nur Nilam Sari Mahmud, pelajar Tingkatan 4 SMK Agama Matang Kuching pula, kem ini memberikan kenangan manis untuk disimpan beliau serta para peserta kem yang lahir dalam Bulan Kebangsaan menerima kejutan sambutan hari jadi semasa malam terakhir kem.


“Saya tidak menyangka bahawa ada upacara kejutan memotong kek hari jadi kepada kami disebabkan saya kira kami sudah tiba ke malam terakhir program.  Pada mulanya saya agak bingung kerana fasilitator dan urusetia program menyatakan rasa kurang senang terhadap kami kerana telah melanggar disiplin kem. Namun,saya  sungguh terkejut dan terharu apabila kek hari jadi dibawa keluar dan kami beramai-ramai diminta memotong kek sebagai tanda kemesraan dan penghargaan”, kongsi beliau.


Gru pengiring SMK Matang Jaya Kuching, Cikgu Siti Khadijah Haimi, 33 turut berkongsi pandangan dan harapan beliau terhadap anak-anak didiknya yang menyertai Kem Aspirasi ini.




Para pelajar bergotong-royong mendirikan kehmah masing-masing Para pelajar bergotong-royong mendirikan kehmah masing-masing


“Saya memandang positif terhadap penganjuran Kem Aspirasi begini kerana ianya memberi faedah besar kepada para pelajar dari segi pembentukan nilai murni pelajar. Kumpulan peserta SMK Matang Jaya merupakan jumlah yang paling ramai menyertai kem kali ini, makanya saya menaruh harapan besar terhadap anak didik saya agar mereka memperoleh impak positif dalam pembinaan sahsiah mereka dalam persekitaran masa kini yang kian mencabar” ujar beliau.


Antara pengisian kem adalah sesi suai kenal peserta, aktiviti zumba, sesi latihan dalam kumpulan dan slot ceramah Rukun Negara.


Menariknya pada sesi penganjuran Kem Aspirasi tahun ini ianya berkonsepkan santai dan tenang kerana kawasan Kem Eko Sumiran yang begitu mendamaikan, segar dan bersih, sekaligus menyuntik perasaan positif di kalangan para pelajar yang menyertai kem.


Menurut pemilik Kem Eko Sumiran, Sudaryo Osman, 48, beliau amat menyokong penganjuran kem berbentuk pembinaan semangat seperti Kem Aspirasi Pelajar ini kerana manfaatnya besar terhadap para peserta yang mengikuti memandangkan beliau sendiri amat percaya bahawa pembelajaran luar kelas yang kondusif menjadikan para pelajar lebih bersemangat dan positif untuk mendalami ilmu di sekolah.


Sudaryo ketika ditemui berkata, “Terima kasih kepada penganjur kerana telah memilih Kem Eko Sumiran sebagai lokasi program dan diharapkan suasana riadah santai bersifat mesra alam dan persekitaran bersih dan  selamat yang disediakan mampu menyuntik perasaan positif serta semangat baru kepada semua peserta kem.”




Para peserta serta urusetia merakamkan gambar kenangan sesi ‘Campfire’ Para peserta serta urusetia merakamkan gambar kenangan sesi ‘Campfire’


“Ilham membuka Kem Eco Sumiran hadir kerana melihat kegigihan emak saya untuk mendorong saya serta adik- beradik lain bersekolah menimba ilmu pengetahuan meskipun beliau sendiri seorang yang buta huruf. Saya semasa kecil bukanlah seorang yang gemarkan sekolah namun saya lebih suka beraktiviti dengan persekitaran. Mencontohi emak saya yang begitu mendukung saya bermain dengan alam sekitar dan dalam masa yang sama menggalakkan pergi ke sekolah, saya menyimpan hasrat untuk melakukan perkara sama kepada anak-anak muda bagi menyediakan ruang meningkatkan motivasi dan potensi diri menerusi kegiatan riadah luar,”kongsi Sudaryo.


Kem Eko Sumiran yang telah mula beroperasi sejak tahun 2014 ini juga turut bertindak sebagai pusat latihan yang menawarkan modul menarik bagi pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Selain persekitaran kem yang indah, tarikan utamanya adalah aktiviti ‘Flying Fox’ yang mana ianya merupakan pusat riadah yang menyediakan alat permainan tali ‘Flying Fox’  terpanjang di Sarawak setakat ini dengan ukuran 161 meter.


Apa yang pasti, para peserta Kem Aspirasi Pelajar Kelab Malaysiaku kali ini membawa pulang pelbagai kenangan menarik dan mempelajari erti perpaduan serta memiliki semangat positif yang diperbaharui setelah berkampung menimba pengalaman membentuk sahsiah diri bersama kelompok kenalan yang baru.