Bengkel Digital Mantapkan Penggunaan Media Siber

Laporan/ foto:  Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)

MARANG, 10 Sep ( Malaysiaaktif) - Penganjuran Bengkel Digital Komuniti Bersama Rakan Strategik dan Pemimpin Masyarakat oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu memberi manfaat serta pendedahan kepentingan media siber kepada pemimpin masyarakat.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, bengkel seperti itu sangat dialu-alukan kerana pada era digital, segala maklumat mudah didapati melalui media siber. Beliau berkata, bagi menerangkan dasar- dasar kerajaan, adalah penting bagi setiap pemimpin daripada parti kerajaan membantu kerajaan hari ini menjelaskan kekeliruan yang sering ditonjolkan di media sosial.

"Dengan menggunakan media siber, segala tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan dapat ditangkis dan seterusnya menjelaskan keadaan yang sebenar kepada masyarakat", katanya ketika merasmikan majlis penutup bengkel itu di Angullia Beach House, Marang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan, Senator Ismail Yusop yang turut menyampaikan ceramah dan Pengarah JaPen Negeri Terengganu, Azahar Ismail.

Seramai 40 peserta terdiri daripada rakan strategik Japen dan pemimpin masyarakat hadir pada bengkel sehari itu. Razali turut mencadangkan agar bengkel seumpama itu dibuat pada peringkat parlimen agar lebih ramai pemimpin setempat mendapat pendedahan mengenai media siber.

Peserta didedahkan dengan penggunaan aplikasi telefon pintar Peserta didedahkan dengan penggunaan aplikasi telefon pintar



Pengarah JaPen Wilayah Persekutuan, Erwin Khairul Ahmad mengendalikan bengkel itu dan turut menyampaikan ceramah bertajuk Media Sosial Sebagai Medium Pemasaran Dasar Negara. Peserta turut didedahkan dengan cara bagaimana menggunakan telefon pintar untuk menghasilkan video yang bermaklumat serta penggunaan aplikasi pintar yang lain.

Pengarah JaPen Wilayah Persekutuan, Erwin Khairul Ahmad mengendalikan Bengkel Digital Komuniti Bersama Rakan Strategik dan Pemimpin Masyarakat Pengarah JaPen Wilayah Persekutuan, Erwin Khairul Ahmad mengendalikan Bengkel Digital Komuniti Bersama Rakan Strategik dan Pemimpin Masyarakat



Seorang peserta, Sia Kian Huay, 39, dari Kampung China, Kuala Terengganu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada JaPen Negeri Terengganu kerana menganjurkan bengkel serta terpilih untuk menjadi peserta.

Katanya, walaupun bengkel itu diadakan sehari, namun banyak ilmu yang diterima dan akan manfaatkan segala yang dipelajari untuk kepentingan masyarakat.

Peserta dari Besut, Samsulkamal Mir Mohd, 47, menyifatkan bengkel yang dihadiri itu memberi pengalaman yang menarik kerana dapat mempelajari pelbagai perkara berkaitan media siber.

Beliau berkata, hanya menggunakan telefon pintar, pelbagai perkara dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk masyarakat dengan menyebarkan dasar dasar kerajaan selain dapat menangkis fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

-II-