ANGKASA Terajui Koperasi-Koperasi Kedah

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)

ALOR SETAR, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Perkembangan koperasi di Negeri Kedah sangat baik dan banyak koperasi yang menjalankan pelbagai perkhidmatan untuk anggotanya terus maju dalam bidang ekonomi.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, menjelaskan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada institusi koperasi khususnya di negeri ini terus meningkat.

“Ini merupakan petanda baik untuk kita memastikan sektor koperasi terus meningkatkan pencapaian melalui pelbagai cara supaya semua produk dan perkhidmatan yang dihasilkan mendapat sambutan baik daripada pengguna.

Mukhriz ketika berucap merasmikan program. Mukhriz ketika berucap merasmikan program.



"Dengan adanya kerjasama yang padu dalam kalangan semua anggota akan memudahkan koperasi bergiat aktif dalam kegiatan ekonomi serta dapat meningkatkan sosio-ekonomi masing-masing," katanya merasmikan Bangunan ANGKASA Negeri Kedah, di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, koperasi merupakan suatu jentera yang dapat menyatupadukan anggota, menjadi tempat mengumpul modal dan kepakaran agar dapat mencipta kejayaan.

‘’Saya amat berbangga dengan koperasi di negeri ini kerana telah mencatatkan pencapaian yang sangat baik dalam kegiatan ekonomi mahupun dalam memberi perkhidmatan kepada anggotanya.

"Di sini ANGKASA mempunyai ladang solar di Pendang, Ladang Jagung seluas 206 ekar di Jitra, MyANGKASA Academic dan Resort (MAAR) di Langkawi dan projek penanaman padi melalui Konsortium Koperasi Tanaman Padi Negeri Kedah.

"ANGKASA bukan hanya memainkan peranan sebagai badan Apex koperasi di Malaysia, malah berjaya membawa produk dan perkhidmatan koperasi ke persada dunia," katanya lagi.

-SH