Kedah Kekal Jelapang Padi Negara – Mukhriz

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Unit foto Penerangan (Alor Setar)

ALOR SETAR, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Konvensyen Padi Kebangsaan yang julung kalinya dianjurkan di Kedah bertepatan kerana negeri ini merupakan Jelapang Padi Negara.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata dengan adanya konvensyen sebegini perkongsian, pandangan dan percambahan idea dapat mempertingkatkan lagi sektor padi di negara ini.

"Sumber yang unik bagi Negeri Kedah kerana tanahnya merupakan jenis clay montmorilonit yang mempunyai kadar CEC yang tinggi, ini kerana ciri tanah yang amat sesuai untuk tanaman padi tapi kurang sesuai untuk tanaman komoditi lain serta tanaman kontan.

Mukhriz ketika berucap sempena Konvensyen Padi Kebangsaan 2019. Mukhriz ketika berucap sempena Konvensyen Padi Kebangsaan 2019.



"Pengeluaran padi terus menjadi perhatian utama kerana ia merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, dan sumbangan pengeluaran hasil padi negeri ini ialah sebanyak 38 peratus dan merupakan negeri yang memberi sumbangan keluaran padi terbesar di Malaysia," katanya ketika berucap pada Konvensyen Padi Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Menurut Mukhriz lagi konvensyen ini bertujuan menyediakan platform di mana semua pemain industri padi dapat berkongsi pandangan dan kemahiran dalam isu-isu yang timbul dalam sektor padi selari dengan matlamat dan halatuju dasar kerajaan.

"Penganjuran konvensyen ini bagi memastikan Kedah terus menjadi negeri peneraju utama sektor padi negara dalam usaha penghasilan padi yang lebih tinggi dan berkualiti untuk keperluan negara.

"Kelangsungan industri padi diutamakan di negeri ini kerana begitu ramai rakyat negeri ini bergantung kepada sawah dalam mencari nafkah, begitu juga dengan komitmen kerajaan negeri untuk mengekalkan keluasan tanah di negeri ini sebagai kawasan bendang atau sawah," katanya lagi.

-SH