‘Fun Walk’ Tingkatkan Semangat Patriotik Penjawat Awam

Laporan/foto: Jamilah Sulaiman/Muhammad Ramadan Ab Rahim (Seremban)


SEREMBAN, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Kira-kira 200 orang peserta terdiri daripada kakitangan awam telah menjayakan Program ‘Fun Walk’ anjuran Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di sini hari ini.


Menurut Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus, kesanggupan para peserta  berjalan sejauh 2.4 kilometer memakai pakaian yang berasaskan Jalur Gemilang membuktikan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan penjawat awam.


“Acara yang pertama kali dianjurkan ini berlangsung secara santai dan ianya berjaya menyampaikan mesej keamanan dan perpaduan daripada pelbagai kaum yang terlibat,” ujarnya ketika ditemui.




WhatsApp Image 2019-09-11 at 15.19.19 Nizam bersama para pemenang.


Nizam turut menyatakan bahawa acara ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan pelbagai penambahbaikkan pada masa akan datang.


Bagi salah seorang peserta,  Zuraida Zainuddin, 40, walaupun Sambutan Hari Kebangsaan telah berlalu pada 31 Ogos yang lalu, tetapi beliau  tetap meluangkan masa untuk menyertai program tersebut.


“Apa yang dilakukan oleh kami ini hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan pejuang negara terdahulu dan saya percaya penat lelah pejuang negara untuk mendapatkan kemerdekaan lebih perit daripada apa yang saya lalui hari ini,” tambahnya lagi.


Program ‘Fun Walk’ ini turut mempertaruhkan tiga kategori untuk dimenangi iaitu Kategori Pakaian Beragam Paling Comel, Kategori Pakaian Paling Lawak dan Kategori Lukisan Muka Kreatif.


-AK