BPLTV Adakan MOU dengan Syarikat Globinaco

Laporan/foto: Asmidar Zainol/ BPLTV Zon Sabah & WP Labuan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 11 Sept (Malaysiaaktif) – Bahagian Pendidikan Latihan, Teknik Dan Vokasional (BPLTV) Zon Sabah & Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Syarikat Globinaco Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Timbalan Pengarah BPLTV, Zanariah Ahmad berkata, memorandum tersebut adalah sebagai kerjasama untuk meningkatkan kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) selain membantu kebolehpasaran graduan kolej vokasional di Sabah dan WP Labuan.

“Bagi pihak kolej vokasional kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Syarikat Globinaco Sdn Bhd kerana memberi peluang pekerjaan kepada lepasan pelajar-pelajar Kolej Vokasional Zon Sabah dan WP Labuan di negeri ini.

“Selain itu ia juga sebagai usaha untuk melahirkan tenaga mahir melalui latihan Bekerja Sambil Belajar (OJT) untuk pelajar-pelajar tahun akhir diploma teknologi selain dapat menyumbang perkongsian teknologi syarikat dengan kolej-kolej vokasional di Sabah dan WP Labuan.

“Pihak kami turut mengalu-alukan mana-mana syarikat di Sabah untuk bekerjasama dengan kolej-kolej vokasional di Sabah dan WP Labuan agar peluang pekerjaan di Sabah dapat diterajui oleh anak-anak tempatan,” ujarnya.

Sementara itu wakil Syarikat Globinaco Sdn Bhd, Jeffrey Soo Yee Lieh berkata, pihak syarikat akan berusaha membantu dan menyumbang kepada usaha peningkatan kemahiran pelajar-pelajar vokasional dari Sabah dan WP Labuan semasa mereka melakukan OJT di syarikat berkenaan.

“Kita berharap melalui Program OJT selama enam bulan ini, ia akan dapat meningkatkan kompetensi pelajar-pelajar dan seterusnya membantu pihak syarikat memilih mana-mana pelajar yang layak untuk diserapkan sebagai pekerja mengikut keperluan organisasi dalam Syarikat Globinaco Sdn Bhd.

“Peluang ini juga tidak terhad kepada pelajar-pelajar dalam bidang diploma teknologi sahaja tetapi juga terbuka kepada pelajar-pelajar diploma dari bidang perakaunan, pengurusan perniagaan, teknologi maklumat dan bidang-bidang yang lain.

“Bagi pihak syarikat, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kolej vokasional di Sabah & WP Labuan dan berharap kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” ujarnya kepada media.

Hadir sama pada majlis ialah Ketua Penolong Pengarah, Sektor Hubungan Industri dan Agensi Luar, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Suraimi Rithwan.

ER