Pengundi Muda Diberi Pendedahan Awal

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Simulasi proses pengundian pilihan raya menerusi Program Amalan Demokrasi Berparlimen anjuran Jabatan Penerangan Labuan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) diteruskan bagi memberi pendedahan kepada generasi muda berkaitan amalan pilihan raya di negara ini.

Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, menegaskan generasi muda yang bakal menjadi pengundi perlu dididik daripada awal pada peringkat sekolah agar mereka faham mengenai proses demokrasi di Malaysia seperti proses mengundi.

“Selaras dengan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, semua pihak mesti mengambil peranan masing-masing dalam memandu anak-anak muda kita terutama yang bakal mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Pelajar diberi pendedahan suasana sebenar ketika sesi pengundian berlangsung. Pelajar diberi pendedahan suasana sebenar ketika sesi pengundian berlangsung.



“Mereka yang berusia 18 tahun boleh membuat keputusan kritikal, berfikir lebih jauh terutama dalam hal membabitkan kesinambungan hidup untuk bangsa, agama dan negara, namun masih perlu bergantung kepada persekitaran dan pengaruh ramai pihak seperti ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan sebaya.

“Oleh itu, didikan awal sejak sekolah lagi amat penting supaya mereka faham dengan lebih jelas berkenaan maksud sebenar demokrasi dan impak daripada pilihan mereka terhadap masa depan negara,” katanya semasa simulasi program berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, di sini hari ini.

Raisin turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Labuan, Suruhanjaya Pilihan Raya, SMK Rancha-Rancha dan kesemua jawatankuasa pelaksana atas kerjasama padu bersama Jabatan Pendidikan bagi melahirkan kemenjadian pelajar yang bertanggunggjawab serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.

“Saya yakin kerjasama pintar antara pelbagai agensi ini mampu memberi persediaan awal dan maklumat yang mencukupi melalui pendidikan sivik serta pendidikan pengundi sekaligus melahirkan belia yang berwibawa dan bertanggungjawab buat negara yang kita cintai,” katanya lagi.

Pada program itu, SPR memberi pendedahan kepada 145 orang pelajar dari semua sekolah menengah dan Kolej Vokasional Labuan merasai sendiri proses pengundian bermula daripada peringkat pertama seperti penamaan calon selain ceramah mengenai proses pilihan raya serta amalan demokrasi di negara ini.

Hadir sama Pengarah Penerangan Labuan Supian Musa, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Labuan [email protected] Amit dan Pengetua SMK Rancha-Rancha Yahya Ahmad Putih.

-SH